Nasional

JPJ tangguhlah dulu baharui lesen, cukai jalan kenderaan awam

SEMUA pemilik kenderaan khususnya kenderaan perkhidmatan dan pengangkutan diwajibkan memperbaharui cukai jalan dan pemegang lesen memandu supaya memperbaharui lesen memandu pada selewat-lewatnya 30 September ini perlu diberikan pencerahan.

Yand Di-Pertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain berkata, penjelasan berhubung isu tersebut penting bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas oleh pihak Jabatan Pengangkutan sekiranya pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu gagal memperbaharui lesen dan cukai jalan pada tarikh yang ditetapkan.

Justeru beliau berkata, sepucuk surat rayuan telah dihantar kepada Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim di pejabat beliau di Putrajaya semalam berhubung isu tersebut.

“Sehubungan itu, kami memikul tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ supaya ketetapan tersebut dimasuhkan dahulu kerana ketika ini rakyat khususnya kami dari sektor pengangkutan sedang dalam kesusahan,” ujar beliau.


Untuk rekod, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19 bukan sahaja telah menjejaskan pelbagai sektor ekonomi bahkan turut menjejaskan sektor pengangkutan.

Malah perlaksanaan PKP 3.0 telah menyebabkan kami kini tidak lagi mampu untuk membeli makanan untuk keluarga, apatah lagi memperbaharui lesen atau cukai jalan seperti yang diarahkan oleh JPJ, ujar Kamarudin dalam kenyataannya yang sama.

“Selain itu, trend peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang terlalu tinggi setiap hari turut menimbulkan kebimbangan kepada kami sekiranya Kerajaan sekali lagi akan melaksanakan PKP yang lebih ketat dan sekaligus akan menyebabkan kami tidak boleh beroperasi.

“Kami berpendapat ketika ini bukanlah waktu yang sesuai untuk JPJ mengarahkan rakyat khususnya kami dari sektor pengangkutan memperbaharui cukai jalan atau pun lesen memandu, JPJ seharusnya mengambil maklum keadaan semasa negara dan keadaan rakyat yang sedang bergelut dalam kepayahan hidup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kamarudin turut meminta agar pihak JPJ melihat keupayaan kaunter mereka dalam menerima kehadiran pengguna yang ingin mengadakan urusan memperbaharui lesen dan sebagainya.

Ini kerana pada ketika ini segala urusan di kaunter JPJ mahupun Pejabat Pos perlu melalui temujanji di mana kami turut menerima rungutan tempoh menunggu temujanji terlalu jauh, tegas Kamarudin.

“Kami mencadangkan agar penanguhan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan diberikan sehingga berakhir pendamik Covid-19 atau selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021 namun bergantung kepada perlaksanaan PKP dan atau Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – SM

(Visited 99 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button