Agama

Selangor benarkan 1,000 jemaah di 3 masjid, 500 jemaah di semua masjid

SULTAN Selangor  Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan agar semua masjid dan surau kebenaran Jumaat dibuka untuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tiga buah masjid iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dibenarkan untuk menerima kehadiran 1,000 orang jemaah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid yang berkenaan.

Manakana di surau kebenaran Jumaat untuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan seramai 40 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

“Baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid dan surau serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau.

“Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau di Negeri Selangor,” kata Mohamad Munir.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1441 H hanya dilaksanakan di masjid sahaja.

Bagi surau-surau yang telah pun merancang melakukan ibadah korban mereka perlu  melaksanakannya di masjid-masjid berdekatan.

Menurut Mohamad Munir, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta jawatankuasa masjid dan surau yang berkaitan.-SM

 

(Visited 743 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button