Ekonomi

Peruntukan RM2 juta di bawah program TUBE lahirkan usahawan belia TVET

Kerajaan terus komited dalam memperkasa Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui peruntukan khusus berjumlah RM2 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA). Program TUBE TVETMARA dijalankan secara fizikal bermula 31 Julai sehingga 4 Ogos 2023 di MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Beranang, Selangor dan Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan olehKetua Pegawai Eksekutif SME Corp.
Malaysia, Rizal Nainy.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah I Bahagian Kemahiran dan Teknikal, MARA, Roslan Abu Bakar, .

Program TUBE bermatlamat memupuk semangat keusahawanan di kalangan belia serta membentuk daya tahan, disiplin dan kepimpinan dalam pengendalian perniagaan.

Pada tahun ini, seramai 60 orang usahawan belia yang mempunyai latar belakang usahawan tekno (technopreneur) daripada institusi-institusi pendidikan dan latihan MARA telah berjaya dilatih.

Peserta didedahkan dengan modul keusahawanan lanjutan (advanced) berkaitan strategi perniagaan, pengurusan syarikat dan kewangan serta teknik-teknik pengembangan perniagaan mengikut trend terkini.

Usahawan belia TVET yang berpotensi dan berjaya menamatkan latihan seterusnya layak dipertimbangkan Geran Pengembangan Perniagaan sehingga RM20,000 setiap seorang.

Menurut rizal, program itu memfokuskan pemerkasaan belia Bumiputera yang memiliki kemahiran vokasional untuk menceburi dan menerokai bidang perniagaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran serta kebergantungan graduan TVET kepada ‘kerja makan gaji’.

“Selain itu, usahawan yang menyertai program ini dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan penglibatan usahawan baharu dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan pengeluaran produk/perkhidmatan tempatan berkualiti bagi memenuhi permintaan pasaran sedia ada,” katanya.

Penekanan kepada peningkatan mutu hidup yang berasaskan ilmu pengetahuan dan pengupayaan modal insan ini sememangnya bertepatan dengan nilai teras Kemampanan dan Daya Cipta di bawah kerangka Malaysia
MADANI.

Sejak tahun 2014, sejumlah 7,183 belia telah dilatih untuk menceburi bidang perniagaan di bawah program TUBE. Daripada jumlah tersebut, 6,986 usahawan (97.2%) berjaya diwujudkan berdasarkan perniagaan yang didaftarkan.

Sejumlah RM100.30 juta geran perniagaan telah  disalurkan kepada peserta yang berjaya dan hasilnya, program TUBE telah mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM154.38 juta sehingga Julai 2023.

Program ini juga telah berjaya mewujudkan 13,866 peluang pekerjaan, termasuk untuk peserta program itu sendiri. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button