Ekonomi

Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat tahun depan

MANDAT biodiesel di negara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia Indonesia dan Malaysia boleh membawa kepada defisit stok minyak sawit dan meningkatkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun depan, kata seorang penganalisis terkemuka industri minyak sawit.

“Saya merasakan harga (MSM Eropah) akan berada pada US$700 setan metrik pada suku pertama dan US$750 pada suku kedua 2020 (US$1 = RM4.16),” kata Pengerusi LMC International Ltd James Fry kepada Bernama di luar acara Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.

Indonesia dijangka melaksanakan mandat biodiesel B30 mulai 1 Januari manakala Malaysia akan melaksanakan program B20 dalam sektor pengangkutan, yang dijangka meningkatkan penggunaan tempatan kepada 1.3 juta tan setahun.

Adunan 20 peratus methyl ester dan 80 peratus diesel petroleum akan berada di pasaran buat pertama kalinya di Langkawi pada suku pertama 2020, diikuti Labuan pada Apri), Sarawak (Julai) dan seterusnya Sabah.

“Perkara penting ialah permintaan akan terus datang dari China dan India …kedua-dua negara ini, yang merupakan pengguna terbesar minyak kelapa sawit di dunia, akan memilih untuk mengimport minyak sawit kerana harganya yang murah.

“China, contohnya, tidak suka mengimport minyak canola kerana pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China,” katanya.

Kedua-dua Indonesia dan Malaysia menyumbang 87 peratus daripada bekalan global, mewujudkan pasaran duopoli minyak makan paling serba guna itu.

Indonesia dan Malaysia masing-masing menghasilkan 33 juta tan metrik dan 19.5 juta tan metrik komoditi itu setahun.

Bagaimanapun, walaupun beliau melihat permintaan terus meningkat, pakar perladangan itu menjangkakan pengurangan pengeluaran di Indonesia kerana kemarau, jerebu dan pengurangan penggunaan baja.

“Saya melihat pertumbuhan yang lebih perlahan di Indonesia, mungkin kira-kira dua hingga tiga peratus tahun depan dan dengan mandat B30, saya tidak pasti jika mereka mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua Indonesia dan Malaysia perlu meningkatkan hasil, termasuk mempertingkatkan pengurusan ladang.

“Dengan pengurusan yang sangat baik (dan kamu mempunyai syarikat pengurusan yang sangat baik di rantau ini), kamu boleh mendapatkan hasil yang baik, tetapi saya fikir mungkin masalahnya adalah untuk mendapatkan pekerja ladang. Tidak seperti Indonesia yang menggunakan pekerja tempatan, Malaysia mengimport pekerjanya dari Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Bagaimanapun, James berkata Cantas, pemotong bagi menuai tandan buah segar yang dibangunkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan teknologi yang boleh membantu mengurangkan keperluan tenaga kerja warga asing dalam industri perladangan, walaupun menuai pokok tinggi lebih sukar daripada pokok pendek.

Ditanya mengenai cara untuk menghentikan jerebu dan menamatkan tindakan tuduh-menuduh antara dua kerajaan, beliau berkata: “Tidak kira di mana pembakaran itu sedang berlaku. Ia dianggap sebagai masalah industri.

“Kita kini mempunyai teknologi untuk mengenal pasti di mana pokok kelapa sawit berada dengan menggunakan satelit. Apa kamu boleh lakukan adalah melantik orang-orang tempatan yang tinggal di kawasan ladang dan meminta mereka untuk memelihara tanah itu dan membayar mereka pada akhir tahun.

“Ini akan membolehkan mereka mempunyai insentif kukuh untuk menghalang orang luar masuk serta menghalang mereka membakar dan memotongnya. Orang tempatan menjadi pelindung yang dibayar upah bagi kawasan hutan yang bernilai tinggi. Ini boleh dilakukan,” katanya. – BERNAMA

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button