Ekonomi

Bursa Malaysia catat kenaikan tertinggi dalam dua bulan

BURSA Malaysia terus bergerak positif dengan mencatatkan kenaikkan tertinggi untuk tempoh dua bulan dengan  mengakhiri dagangan hari ini pada kedudukan memberangsangka dengan keyakinan pelabur kukuh seiring dengan prestasi menggalakkan bursa serantau serta harga minyak di pasaran.

Ketika ditutup pada pukul 5 petang ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 16.43 mata kepada 1,569.80 berbanding 1,553.37 pada penutupan urus niaga sebelumnya.

Ia dibuka 1.21 mata lebih tinggi pada 1,554.58 dan berlegar antara 1,554.58 dan 1,569.80 di sepanjang sesi dagangan hari ini.

Keseluruhannya 532 kaunter rugi, 509 kaunter untung sementara 468 kaunter tidak berubah, 742 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan yang dicatatkan hari ini ialah 4.55 bilion saham tetapi nilainya berkurangan kepada RM2.89 bilion, berbanding RM3.15 bilion pada Selasa.

 

Dalam kalangan kaunter tersenarai FBM KLCI, Press Metal mendahului dengan kenaikan 4.8 peratus diikuti oleh Tenaga Nasional (TNB), mengembang 3.1 peratus sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian Bursa Malaysia mencatat keuntungan terbesar sebanyak 1.7 peratus di antara indeks sektoral.

Di luar negara, pelabur memuji langkah positif Amerika Syarikat (AS) berkenaan vaksinasi yang menyaksikan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS pada hari Isnin telah mengeluarkan kelulusan penuh untuk vaksin dua dos Pfizer/BioNTech.

Negara-negara lain seperti China turut menunjukkan prospek memberangsangkan dalam menangani COVID-19 kerana tidak ada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam data terbaharu.

Selain itu, harga minyak mentah Brent kekal melepasi paras AS$70 setong, sekali gus melonjakkan kaunter tenaga terpilih.

Antara saham berwajaran tinggi, Press Metal naik 24 sen kepada RM5.24, Tenaga Nasional melonjak 31 sen kepada RM10.28, Petronas Chemicals 21 sen lebih tinggi pada RM8.15, Maxis menambah 12 sen kepada RM4.65 dan Axiata menokok sembilan sen kepada RM4.04.

Sementara itu, Maybank untung satu sen kepada RM8.33 dan Public Bank turun satu sen kepada RM4.10.

Bagi saham aktif, Kanger International dan Sapura Energy masing-masing kekal pada enam sen dan 12 sen, MMAG turun satu sen kepada 10.5 sen, Focus Dynamics meningkat setengah sen kepada lima sen, dan Avillion turun dua sen kepada 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 84.11 mata kepada 11,449.46, Indeks FBMT 100 mengukuh 87.41 mata pada 11,158.59, Indeks FBM Emas Syariah menokok 130.56 mata kepada 12,551.90, FBM 70 naik 2.24 mata kepada 14,933.64 dan FBM ACE kerugian 38.37 mata kepada 7,289.12.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 48.17 mata kepada 6,663.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 45.54 mata kepada 15,381.95 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 3.22 mata kepada 194.59.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 2.66 bilion saham bernilai RM2.53 bilion daripada 2.65 bilion saham bernilai RM2.74 bilion pada Selasa.

Perolehan waran pula menyusut kepada 394.23 juta unit bernilai RM51.05 juta berbanding 406.88 juta unit bernilai RM56.40 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE mencecah kepada 1.50 bilion saham bernilai RM316.58 juta berbanding 1.48 bilion saham bernilai RM352.91 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 593.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (780.62 juta), pembinaan (85.64 juta), teknologi (288.36 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (92.07 juta), hartanah (146.47 juta), perladangan (57.21 juta), REIT (8.66 juta), dana tertutup (58,000), tenaga (457.95 juta), penjagaan kesihatan (45.56 juta), telekomunikasi dan media (42.02 juta), pengangkutan dan logistik (39.08 juta) dan utiliti (20.57 juta).

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button