Luar Negara

Lelaki vegan enggan ambil vaksin kerana diuji pada haiwan, maut akibat Covid

SEORANG lelaki vegan menolak vaksin kerana pendiriannya yang menentang sebarang ujian terhadap haiwan telah meninggal dunia akibat virus Covid-19.

Glynn Steel, 54, meninggal dunia pada 16 November selepas ‘bertarung nyawa’ selama dua minggu dalam rawatan rapi di mana dia turut merayu kepada jururawat untuk diberikan vaksin.

 

Menurut isterinya, Emma, kata-kata terakhir yang diucapkan oleh suaminya ialah dia tidak pernah berasa sakit sebegitu dan berharap diberikan vaksin dengan segera.


“Perkara terakhir yang Glynn katakan kepada saya ialah ‘Saya tidak pernah berasa sakit seperti ini, saya harap saya mempunyai vaksin’.

“Ia sangat menyayatkan hati. Dia memohon vaksin ketika dalam rawatan rapi sebelum dia menggunakan bantuan hayat tetapi mereka mengatakan bahawa sudah terlambat.

“Dia adalah seorang yang berjiwa lembut, dia adalah seorang vegan dan tidak mahu mengambil vaksin kerana ia telah diuji pada haiwan,” ujarnya.

Emma menyeru orang ramai untuk mengambil vaksin dengan mengatakan bahawa dia telah ditinggalkan untuk menempuhi ‘masa depan yang kosong sendirian’.

Berita kematiannya datang ketika Perdana Menteri UK, Boris Johnson, menggesa orang ramai untuk mengambil vaksin supaya negara berada dalam kedudukan kukuh menjelang perayaan Krismas ekoran kebimbangan yang semakin meningkat terhadap varian baharu iaitu Omicron.

Tambah Emma, suaminya akan mencapai umur 55 tahun dalam masa dua bulan lagi ketika dia merancang untuk bersara dan menghabiskan masa untuk mengembara dan menjaga haiwan, telah menolak mengambil vaksin selepas membaca bahawa vaksin telah diuji pada haiwan.

Emma yang telah mendapat dua dos vaksin menggesa orang yang dia kenali mendapatkan vaksin.

“Saya menggesa semua orang yang saya kenali untuk pergi mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Glynn, dari Malvern, Worcestershire, disahkan positif Covid-19 pada 27 Oktober selepas gejala selsema yang semakin teruk.

Keadaannya merosot dengan cepat menyebabkan isterinya menghubungi ambulans pda 2 November.

Tetapi kerana tiada kekosongan ambulans, dia membawa suaminya yang tidak sedarkan diri ke Worcestershire Royal Hospital di mana dia melihat terdapat 12 ambulans beratur di luar ketika dia tiba.

Dia telah dimasukkan ke rawatan rapi tetapi pada 10 November, dia telah diletakkan mesin sokongan hidup dan diletakkan dalam keadaan koma.

Dia meninggal dunia dalam masa 20 minit selepas bantuan hayatnya dimatikan.

“Saya bersamanya ketika dia meninggal dunia dengan memakai kit PPE lengkap, jadi saya tidak dibenarkan menyentuhnya, tetapi mereka memainkan muzik kegemarannya oleh Sex Pistols dan saya menemaninya sehingga akhir,” ujarnya. – SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button