Uncategorized

Lebih 30,000 maut akibat COVID-19, lebih 120,000 dijangkiti di AS

SERAMAI 30,830 orang telah meninggal dunia di seluruh dunia akibat wabak maut COVID-19. Sehingga pagi ini sejumlah 662,422 orang telah dijangkiti virus yang bermula dari Wuhan, China itu.

Itali menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan kematian iaitu 10,023 orang. Diikuti Sepanyol (5,982), China (3,295), Iran (2,517), Perancis (2,315),  Amerika Syarikat (2,202) dan United Kingdom (1,019).

Manakala Amerika Syarikat (AS) menjadi pusat jangkitan teramai iaitu 123,271 orang. Diikuti Itali (92,472), China (81,394), Sepanyol (73,295), Jerman (57,695), Perancis (37,575), Iran (30,948), United Kingdom (17,089) dan Switzerland (14,079).

Seramai 141,468 orang telah sembuh daripada jangkitan tersebut.

Malaysia berada pada kedudukan ke-24 paling ramai dijangkiti iaitu 2320 orang dan jumlah kematian seramai 27 orang.

Di AS,  sejak Khamis lepas mencatatkan bilangan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di dunia dengan setakat semalam (Sabtu) mengorbankan 2,010 nyawa.

Ia melonjak dua kali ganda dalam masa tiga hari, menurut kajian Johns Hopkins University.

Kira-kira satu perempat daripada kes kematian berlaku di New York City, wilayah paling teruk di negara ini, lapor Johns Hopkins.

Menurut AFP hari ini, sepanjang 24 jam lalu, angka kematian di AS ialah 453 kes yang dikaitkan dengan penyakit COVID-19, menyebabkan jumlah keseluruhan kematian negara itu kepada 1,891 orang sejak pandemik bermula.
Sementara di Itali kerajaan negara itu dituduh membiarkan para petugas kesihatan ‘memerangi’ COVID-19 tanpa menyediakan peralatan pelindungan diri (PPE) sehingga menyebabkan lebih 50 orang doktor maut dijangkiti virus tersebut.

Presiden Persatuan Doktor Itali  Filippo Anelli menggesa agar petugas kesihatan di negara itu dibekalkan dengan alat perlindungan diri bagi mengelakkan mereka dijangkiti ketika merawat pesakit.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah melindungi pekerja penjagaan kesihatan, untuk memastikan mereka bukan penyebaran virus. Doktor kami telah dihantar ke peperangan tanpa senjata,” kata Anelli kepada The Financial Times.

Itali mempunyai jumlah kematian COVID-19 tertinggi di dunia itu 9,100 orang. Lebih 86,000 rakyatnya kini dijangkiti dengan wabak maut itu dan hampir 11,000 berjaya dipulihkan.
Di negara jiran, Singapura, kementerian kesihatannya mengesahkan 70 lagi kes jangkitan wabak COVID-19 dengan empat kes melibatkan rakyat Malaysia pemegang Pas Kerja Singapura. 

BERNAMA melaporkan semalam, ini adalah angka kes positif tertinggi yang direkodkan di Singapura setakat ini iaitu dalam tempoh 24 jam dan menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 802.

Kementerian kesihatan negara pulau itu dalam satu kenyataannya memberitahu, daripada 70 kes positif, 41 adalah kes dari luar manakala 29 lagi adalah kes tempatan yang tiada rekod terkini perjalanan ke luar negara.

Semua 41 kes mempunyai sejarah melawat ke Eropah, Amerika Utara, ASEAN dan lain-lain negara di Asia, menurut kenyataan MOH.

Menyentuh tentang dua kes dari luar melibatkan dua lelaki rakyat Malaysia, masing-masing berusia 28 dan 47 tahun yang dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID). -SM

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button