Ekonomi

Lebih 200 anak muda PPK Nilam Puri akan tanam jagung susu

LEBIH 200 anak muda di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan bakal dilibatkan dalam penanaman jagung susu berskala besar, bermula selepas musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusi PPK Nilam Puri, Datuk Mohd. Zakiron Zahid berkata, pihaknya telah mengenal pasti lebih 20 hektar tanah terbiar untuk tujuan itu.

“Kita akan berbincang dengan anak-anak muda ini serta mengenal pasti lebih banyak tanah-tanah terbiar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang boleh kita bangunkan dengan tanaman jagung dari Taiwan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat Janas Agro Sdn. Bhd., pembekal benih jagung berkenaan malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Janas Agro, Datuk Rahimie Ibrahim dan Pengurus Besar PPK Nilam Puri, Wan Azliza Wan Him.

Mohd. Zakiron berkata, PPK itu mempunyai kira-kira 3,000 ahli yang rata-ratanya terbabit dalam penanaman padi di bawah seliaan KADA dan pihaknya akan bertemu kesemua ketua-ketua unit bagi memaklumkan cadangan berkenaan.

“Kita dimaklumkan mereka boleh mendapat untung sekitar RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap 0.4 hektar untuk setiap musim penanaman setelah ditolak kos lain,” katanya sambil menambah, tanaman jagung terbabit mula mengeluarkan hasil dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu, Rahimie berkata, petani perlu merebut peluang yang disediakan pihaknya kerana mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan berikutan kos bagi penggemburan tanah, benih dan baja ditanggung syarikat.

“Mereka hanya menjaga tanaman sahaja dan hasil akan dibeli oleh syarikat kami yang akan mencari pasaran dan yakin pasaran jagung susu ini adalah baik seperti mana yang dijual di Cameron Highlands,” katanya.

 

(Visited 562 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button