Negeri

Raja Muda saran rakyat Perlis bersatu hati sekali lagi kekang Covid-19

Rakyat Perlis hendaklah bersatu hati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ini adalah kerana tidak mustahil rentas negeri akan kembali dibenarkan tidak lama lagi. Oleh itu, jika ahli keluarga pulang ke Perlis, mohonlah agar mereka menginap di tempat penginapan seperti hotel atau inap desa.

Jika perlu berjumpa, berjumpalah di lokasi-lokasi yang mempunyai pematuhan SOP yang baik. Bukan tidak sayang atau tidak meraikan, tetapi kerana sayang dan meraikanlah elakkan berjumpa di rumah kerana kita semua tahu, amat susah untuk pematuhan SOP jika di rumah. Jika kita terleka, keadaan ini mungkin boleh menjadi pencetus kepada peningkatan kes. Oleh itu, sentiasalah patuh SOP dan amalkan norma baharu dengan seberapa tegas yang boleh.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan bantuan agihan zakat beserta ‘Kit MAIPs Peduli’ kepada Zainab Hamdah, 78 tahun di Kampung Che Ok, Simpang Empat.

Zainab merupakan salah seorang penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’ yang tinggal bersama tiga orang anak dan cucu beliau.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Amil Kariah Kampung Che Ok, Ahmad Rodzi Saad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menambah bahawa kepercayaan apabila telah mendapat vaksin seseorang itu tidak lagi perlu mematuhi SOP perlu diperbetulkan. Ini kerana seseorang itu masih boleh dijangkiti virus Covid-19 walaupun kesan daripada jangkitan tersebut adalah ringan, namun bagi warga emas serta mempunyai comorbid ianya boleh menjadi teruk dan mengakibatkan kematian. Sewajarnya kita semua berusaha untuk melindungi kumpulan berisiko ini dengan cara mematuhi SOP yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin pada setiap masa khususnya apabila berhubungan dengan orang ramai.

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button