Hiburan

Lagu Hutang diangkat menjadi filem dalam Hutang 2D

Lagu popular Hutang nyanyian kumpulan Floor 88 telah melakar kejayaan tersendiri dengan mendominasi carta radio dan televisyen tempatan pada tahun 2019 serta liriknya telah menjadi siulan oleh golongan kanak-kanak hingga orang dewasa serta bait-bait lirik lagu membawa maksud yang cukup mendalam.

Terbaharu, lagu tersebut diangkat dan dipersembahkan menerusi filem Hutang 2D di mana Floor 88 turut membuat kemunculan pertama dalam filem dan mereka bakal menghiburkan penonton dengan gelagat, aksi dan komedi yang mencuit hati.

Penerbit Eksekutif Filem Hutang 2D, Arie Zaharie berkata, idea asal filem ini muncul daripada Silentkaiju Studio dan pihaknya tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri, jadi kami cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam sebuah penceritaan dan kemudian mempersembahkan dalam bentuk filem.

“Malah, pihak kami juga berusaha membawa kelainan menerusi Hutang 2D dengan menyajikan penonton dengan konsep menarik,” jelasnya.


Selain menampilkan ahli kumpulan Floor 88 selaku teraju utama, Hutang 2D menampilkan barisan pelakon seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki serta turut menampilkan dua orang pengarah iaitu Irwan Rauf dan Eric Fuzi.

Istimewa buat penonton, Astro Shaw bakal membawakan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios tersebut terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.

Menariknya, filem ini mempertaruhkan bakat lakonan oleh kesemua ahli kumpulan Floor 88, Ayie Elham, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah, Amirul Afeeq dan Eric Fuzi sebagai teraju utama.

Mengangkat genre komedi, aksi dan fantasi, ia mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie.

Ia membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Pada masa sama, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan).

Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan Hutang 2D adalah sebuah lagi filem terbaru di platform Astro First yang memperlihatkan bakat-bakat penyanyi tanah air menonjolkan bakat lakonan mereka.

“Lebih mengujakan, filem ini memaparkan sebuah kumpulan penyanyi popular Malaysia di samping mengetengahkan unsur komik digital dan fantasi.

“Kami yakin kemunculan Floor 88 dalam Hutang 2D mampu menarik minat penonton dan berharap filem ini dapat menghiburkan penonton dan terus kekal berada di rumah,” ujarnya.

Hutang 2D akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 5 Ogos 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. -SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button