Nasional

Pensijilan ‘MyGAP’ Penting Kepada Industri Harumanis Perlis – Raja Muda Perlis

Ladang-ladang yang telah diiktiraf dengan pensijilan ‘MyGAP’ ini mempunyai pelbagai kelebihan antaranya dapat menghasilkan buah Mangga Harumanis Perlis yang lebih berkualiti dan selamat dimakan, meningkatkan produktiviti pengeluaran serta dapat menjaga keselamatan dan kebajikan para pekerja ladang.

Buah Mangga atau mempelam Harumanis Perlis yang dikeluarkan dari ladang ‘MyGAP’ juga mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan juga antarabangsa.

Pada masa yang sama, kita dapat memelihara alam sekitar dan kurang penggunaan racun makhluk perosak yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah meninjau ladang mempelam Harumanis Perlis yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri di Pusat Pertanian Bukit Bintang 2, Sungai Batu Pahat.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Industri & Pengembangan, Jabatan Pertanian Negeri Perlis Mohd Nizam Abdul Aziz.

Musim Harumanis Perlis kini berada dipenghujungnya tahun ini. Pada kali ini sambutannya daripada masyarakat dalam negara adalah amat baik sekali khususnya melalui jualan atas talian walaupun pada awalnya berlaku kebimbangan besar di kalangan para pengusaha, prospek berlakunya lambakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 dan kemudiannya pula timbul permasalahan kesesakan penghantaran Harumanis Perlis di pusat-pusat kurier serta bekalan stok kotak yang tidak mencukupi di negeri ini yang berjaya ditangani dengan baik oleh pelbagai pihak.

Sementara itu, dalam perkara yang sama, Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman memaklumkan bahawa Jabatan Pertanian Negeri Perlis amat menggalakkan pengusaha-pengusaha ladang Harumanis Perlis di negeri ini untuk mendaftar di bawah skim pensijilan ‘MyGAP’ serta mengesyorkan kepada para pembeli atau penggemar buah berkenaan untuk mendapatkan buah dari ladang-ladang yang telah diiktiraf dengan Sijil ‘MyGAP’ kerana kualiti buah lebih terjamin dan diyakini selamat untuk dimakan.

Menurut Hafizuddin, kini sebanyak 63 ladang Harumanis Perlis telah dipersijilkan ‘MyGAP’ dengan keluasan sebanyak 93.655 hektar, dan Jabatan mensasarkan peningkatan sekali ganda ladang yang mendapat persijilan MyGAP pada tahun 2021.

Proses Pensijilan MyGAP meliputi beberapa perkara iaitu Permohonan dari petani, Pendaftaran oleh pegawai pembimbing, Analisa racun perosak dan logam berat bagi sampel hasil serta audit dalam dan juga audit luar.

‘MyGAP’ merupakan singkatan daripada Malaysian Good Agricultural Practice iaitu satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini dibangun berpandukan Malaysia Standard MS 1784: 2005 Crop Commodities dan Good Agriculture Practices (GAP). – SM

(Visited 421 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button