fbpx
Hiburan

Curi wang kripto, Mas Khan didenda RM17,000

Pelakon filem Abang Long Fadil 2, Mas Khan didenda RM17,000 atau penjara 26 bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini bagi kesalahan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik penerbit filem Datuk A.Aida.

Menurut laporan Bernama, Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan, 26, atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, pelakon itu didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik Zaidah Awang, 50, atau dikenali sebagai A.Aida tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di  Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini, pada 5 pagi 7 Mac tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


Terdahulu, pelakon itu yang diwakili peguam  Surya Putra Mohamad Taufan memohon denda minimum atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sejak awal siasatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira keseriusan kes yang dilakukan dan jumlah kerugian dialami mangsa adalah tinggi iaitu lebih RM200,000. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button