NasionalNegeri

KPKT salur RM13 juta untuk tapak pelupusan sisa pepejal Paya Kemunting

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Inisiatif Hijau Pemuliharaan Alam Sekitar bagi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting, Kedah.

Penyerahan dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Dr. Mohd Azhar Abd Hamid kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib serta pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah KPKT.

Projek Inisiatif Hijau Pemuliharaan Alam Sekitar ini bertujuan untuk mengurangkan kewujudan tapak pelupusan tidak sanitari selaras dengan pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Pelaksanaan inisiatif bagi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting, Kedah ini telah berjaya disiapkan pada 1 September 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM13 juta.

Tapak ini merupakan tapak ke-175 yang dihentikan operasi dan telah ditutup pada 1 Januari 2019.

Menurut Kor Ming, KPKT melalui JPSPN komited melaksanakan Projek Inisiatif Hijau Pemuliharan Alam Sekitar menggunakan kaedah tutup selamat di lokasi ini.

Oleh itu, katanya, penduduk tempatan kini boleh menarik nafas lega kerana masalah kacau ganggu pencemaran  udara sekitar Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting, Kedah ini telah diselesaikan.

“Penutupan tapak pelupusan berkeluasan 13 ekar ini menggunakan kaedah tutup selamat yang terbaik berdasarkan garis panduan Landfill Safe Closure and Rehabilitation of MSW Landfill Sites yang dilkeluarkan oleh KPKT. Ia juga telah direka bentuk berkonsepkan simetrikal dengan ketinggian 38 meter di puncak dengan kerja penanaman rumput bagi mengindahkan tapak tersebut,” katanya.

Menurut rekod, kes kebakaran sering berlaku di tapak pelupusan ini iaitu pada tahun 2017, 2020 dan 2021. Setiap kali berlaku kebakaran, operasi pemadaman api dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKP.

Malah operasi pemadaman kebakaran di tapak ini pernah mengambil masa selama lima hari dengan kekuatan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang, Jalan Raja, Pendang dan Bukit Kayu Hitam.

Bukan itu sahaja, MPKP juga telah menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan tahap kualiti pengudaraan yang menyebabkan masalah kesihatan dan kacau ganggu pencemaran bau kerana lokasi tapak pelupusan yang berdekatan dengan kawasan kampung, sekolah, perumahan dan pusat pengajian tinggi.

Selain itu, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih mampan, KPKT akan memperkenalkan Waste Eco-Tourism seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju.

Ia akan memberikan pendedahan, pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai sistem pengurusan sisa pepejal yang lestari. Justeru, KPKT telah mengenalpasti 10 tapak pelupusan yang telah ditutup selamat yang sesuai untuk dibangunkan semula sebagai taman hijau dengan reka bentuk yang inovatif dan kreatif.

Pembangunan semula tapak pelupusan sisa pepejal kepada taman hijau berpotensi memberikan manfaat serta membuka ruang dan peluang sosio-ekonomi kepada masyarakat setempat. – SM

(Visited 30 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button