Nasional

Rentas negeri dibenar selepas 90% populasi dewasa lengkap divaksin

AKTIVITI rentas negeri akan dibenarkan selepas 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apabila sasaran tersebut dicapai, kerajaan juga akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan.

Sehingga semalam sejumlah 80.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Mesyuarat turut memutuskan untuk membenarkan perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibuka kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober ini.


“Pusat,  premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator dan pelawat, pengunjung lengkap divaksin.

“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara manakala bagi warganegara adalah percuma.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” kata Ismail Sabri menasihatkan orang ramai.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 164 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button