Nasionalpilihan

Kompaun RM250-RM500 peniaga, pemilik premis di Jonker Walk

Sikap degil longgokkan sampah di bahu jalan

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menempatkan anggota
penguatkuasa di kawasan tumpuan pelancong di Jonker Walk bagi memantau isu pembuangan sampah yang tidak mengikut waktu yang ditetapkan.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, sikap degil pemilik premis dan peniaga di situ yang meletakan sampah di bahu jalan sebelum waktu dibenarkan pada pukul 12.00 tengah malam telah mencacatkan reputasi kawasan tersebut.

Menurutnya, beliau melihat sampah seperti sisa makanan, kertas, bekas minuman dan sebagainya telah diletakan lebih awal iaitu sekitar pukul 8.00 malam yang jelas mencemarkan pemandangan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua peniaga dan pemilik premis jika masih berdegil dengan sikap membuang sampah merata-rata, penguatkuasa akan mengeluarkan kompaun antara RM250 hingga RM500.

“Saya lalu di Jonker Walk malam Ahad lalu dan amat terkejut melihat di sepanjang Lorong Hang Jebat segala sampah diletakan di bahu jalan iaitu di laluan utama pelancong.

“Saya percaya sampah dengan sisa makanan dibuang oleh peniaga di Jonker Walk dan tidak terkecuali juga pemilik premis cafe, hotel, kedai cenderamata dan sebagainya di sepanjang laluan tersebut.

“Keadaan ini saya lihat berlaku setiap hujung minggu dan cuti kelepasan am apabila ramai pelancong dari dalam dan luar negara tertumpu di lokasi ini,” ujarnya di sini.

Sehubungan itu kata Shadan, keputusan menempatkan penguatkuasa di situ bukan sahaja untuk memantau tetapi juga akan mengeluarkan kompaun jika mereka masih berdegil meletakan sampah di bahu jalan tidak mengikut waktu yang ditetapkan.

Katanya, beliau mendapati isu pembuangan sampah merata-rata di kawasan tersebut semakin tidak terkawal dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu beliau berkata, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) telah bersetuju untuk menyediakan motosikal roda tiga untuk mengangkut sampah-sampah longok bermula pada pukul 7.00 petang setiap hujung minggu.

Menurutnya, bagi sampah-sampah peniaga di kaki lima Jonker Walk akan dibersihkan dan dibuang oleh penganjur di situ.

“Pada pemerhatian saya, keadaan ini tidak berlaku pada hari biasa tetapi sebaliknya dikesan kerap terjadi pada cuti hujung minggu,” katanya. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button