Nasional

Polis ambil keterangan 33 saksi berhubung majlis perkahwinan di kuil

POLIS telah mengambil keterangan daripada 33 orang saksi berhubung satu majlis perkahwinan yang dianjurkan di sebuah kuil di Taman Serdang Raya pada Ahad lalu.

Majlis perkahwinan yang dihadiri puluhan tetamu itu disiasat kerana ia melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, ekoran daripada dua laporan yang diterima, polis telah menyoal siasat 18 saksi bagi pihak kuil dan 15 saksi pengantin.

“Kes kuil Serdang kita memulakan siasatan berdasarkan dua laporan polis yang mana 18 saksi (pihak kuil) dan 15 saksi pengantin yang hadir telah dirakam keterangan oleh polis,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor seperti yang dipetik daripada MalaysiaGazette.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan lanjur bagi menyiapkan kertas siasatan.

“Sejurus selepas siap kertas siasatan nanti akan dirujuk untuk apa apa arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwaraya,” ujarnya.

Pihak pengurusan kuil berkenaan sebelum ini mengaku  telah menjalankan majlis perkahwinan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan mengesahkan pihak pengurusan kuil juga mengakui majlis itu telah berlangsung dengan kehadiran tetamu antara 20 hingga 30.

Fadzil berkata, polis telah telah memulakan siasatan sejurus selepas menerima maklumat mengenai insiden itu.

“Saya tak pasti tempoh atau masa polis pergi ke tempat kejadian (rumah ibadat) tetapi SOP kami apabila telah menerima maklumat kami telah menjalankan siasatannya segera,” katanya.

Baru-baru ini tular satu video mengenai sebuah kuil di Serdang dikunjungi hampir 100 penganut agama Hindu dipercayai bagi upacara perkahwinan.

Sedangkan kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik Covid-19.

Suasana sesak dikesan bermula pukul 8 pagi tadi itu di rumah ibadat yang terletak di Jalan SR 5/5 Taman Serdang Raya.

Kejadian disedari sekitar 10.15 pagi oleh salah seorang penduduk  yang kebetulan memandu di kawasan berkenaan dan terkejut mendapati deretan puluhan kereta di hadapan kuil diikuti orang ramai berpakaian tradisional di dalam premis tersebut.

Difahamkan majlis perkahwinan itu telah berlangsung di sebelah pagi namun para hadirin masih tidak bersurai sehingga 11 pagi sambil berbual serta menikmati jamuan makan yang disediakan tanpa penjarakan sosial.

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button