Nasional

KKM saran pergerakan diperketat jika kes COVID-19 terus meningkat

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menyarankan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketat kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri, sekiranya kes COVID-19 dalam negara terus meningkat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu perlu berikutan peningkatan kes COVID-19 akhir-akhir ini dipercayai berpunca daripada kebenaran merentas daerah dan negeri sejak Disember lepas.

Selain itu, beliau berkata peningkatan kes turut disebabkan tindakan aktif untuk melaksanakan ujian saringan kesihatan ke atas semua pekerja asing di sektor perkilangan dan pembinaan bermula Januari.

“Sejak 1 Jan lepas, kerajaan telah mewajibkan majikan di sektor industri dan pembinaan membuat saringan kepada warga asing. Jadi, apabila banyak ujian dibuat maksudnya kita akan mendapat banyak kes positif tetapi kita tidak sangka peningkatan kes yang mendadak ini berlaku begitu pantas.

“Ia terjadi kerana kita dapati ada unsur ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan semasa pembukaan semula sektor ekonomi,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Fasa Dua di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata kes positif COVID-19 yang direkodkan ketika ini membabitkan kes sporadik (kes berlaku dalam komuniti) dan kes bukan warganegara.

“Nisbah peratusan antara kedua-dua kes ini adalah 50-50. Kes sporadik dijangkiti melalui  pergerakan rentas negeri dan juga kerana tindakan berkumpul atau berhimpun di sesuatu tempat,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media memberitahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan bakal dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan akhir-akhir ini.

Ismail berkata  kerajaan juga sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko penularan COVID-19.- BERNAMA

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button