Politik

13 kerusi baharu dipertaruh dalam Pilihan Raya Negeri Sabah

PILIHAN Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung dalam tempoh 60 hari akan menyaksikan sebanyak 73 kerusi akan dipertaruhkan termasuk 13 kerusi Dewan Undangan Negeri baharu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, 13 kerusi baharu itu telahpun diwartakan dan merupakan pertambahan kepada 60 kerusi sedia ada.

DUN berkenaan adalah Pintasan (Kota Belud); Pantai Dalit (Tuaran); Darau (Sepanggar); Keramat (Putatan); Limbahau (Papar); Tulid (Pensiangan); Bengkoka (Kudat); Bandau (Kota Marudu); Telupid (Beluran); Sungai Manila (Libaran); Lamag (Kinabatangan); Segama (Lahad Datu-Silam); dan Kukusan (Kalabakan).

Shafie berkata, sudah sampai waktunya mandat dipulamhkan kepada rakyat.

“Saya yakin orang Sabah mempunyai maruah. Saya tahu tekanan yang mereka lakukan bagi mendorong kita untuk menyokong mereka, membuat pusingan U.

“Jadi, kita perlu mempertahankan (mandat) rakyat dan negeri Sabah. Macam mana berat sekali pun tekanan yang diberikan, Sabah perlu dipertahankan,” kata Shafie.

Shafie sekali lagi menegaskan beliau bertindak bukan kerana mahu pertahankan jawatan Ketua Menteri.

“Tiada ertinya saya kekalkan jawatan jika saya tidak dapat pertahankan hak orang Sabah demi masa depan anak-anak kita. Sehingga ke saat ini, sudah banyak yang dilakukan dan diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Warisan yang memerintah hari ini,” kata Shafie.

Justeru beliau meminta semua pihak supaya terus bertenang bagi menghadapi cabaran sementara menanti pengumuman tarikh mengundi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari bermula hari ini.

Dewan Rakya meluluskan usul tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah apabila mendapat persetujuan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang pada 17 Julai tahun lalu.

Usul dikemukakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat. Bekas  Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul berkenaan diluluskan secara berbelah bahagi selepas 158 Ahli Parlimen bersetuju.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.

Pertambahan Bahagian Pilihan Raya Negeri itu akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Sabah, khususnya penduduk yang berada di dalam kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button