Politik

KJ tidak buat kerja rumah

Keputusan Khairy Jamaluddin menetapkan SOP bagi pilihan raya negeri Melaka terus mendapat bantahan dan dianggap sebagai tidak melakukan kerja rumah.

Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, selaku Menteri Kesihatan Khairy sepatutnya meneliti dengan melakukan kerja rumah sebelum membuat keputusan.

Menurut beliau, SOP yang ketat seperti calon pilihan raya negeri Melaka tidak dibenarkan bertemu bersemuka para pengundi akan merencatkan demokrasi di negara ini.

Tambah beliau ini adalah kerana tidak semua pengundi yang menggunakan media sosial, dan masih ramai yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mendapat maklumat berhubung kempen pilihan raya.

“Masalah utama ialah bagi calon baharu. Bagaimana untuk memperkenalkan calon baharu, jika tidak dapat diadakan majlis walaupun pada kapasiti kecil,” soal beliau ketika ditemui Suara Merdeka di Melaka.


Sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, beliau bimbang ini akan menjejaskan keberkesanan parti politik untuk menjelaskan polisi dan dasar yang akan dilaksanakan apabila dipilih sebagai kerajaan negeri kelak.

Selain itu, ujar beliau, keputusan menteri kesihatan itu juga dianggap sebagai memberi layanan dua standard terhadap orang politik berbanding orang awam.

Kata beliau, orang awam dibenarkan pergi ke pasar raya, mengadakan kenduri pada kapasiti kecil, menunaikan solat pada kapasiti sebenar dan banyak lagi, manakala orang politik tidak dibenarkan berjumpa bersemuka dengan pada penyokong.

Beliau juga mempersoalkan di mana keberkesanan vaksin yang disuntik kepada rakyat di negara ini dengan penduduk Melaka sudah sampai 90 peratus vaksinasi, dan sepatutnya sudah mempunyai kekebalan kelompok, tetapi perkara sebaliknya berlaku dan dengan pendirian menteri kesihatan telah menimbulkan kebimbangan umum.

Mohamad Ali turut memberi contoh pilihan raya negeri Sabah berlaku ledakan kes Covid-19 kerana ketika itu belum berjalan program vaksinasi.

Selain itu jelas beliau, beberapa pilihan raya kecil ketika pandemik seperti di Chini, tidak menyebabkan kluster baharu jangkitan, walaupun SOP agak longgar.

Perkara sedemikian, tegas beliau, perlu diperhalusi oleh Khairy sebelum membuat keputusan.

Justeru beliau berpandangan belum terlambat Khairy untuk memperbetulkan keputusan yang silap dibuat oleh beliau sebelum penamaan calon pada 8 November ini.

Menyentuh soal sokongan pengundi di Melaka kepada UMNO dan Barisan Nasional, Mohamad Ali berkata, rakyat negeri berkenaan kini memang mengharapkan Barisan Nasional menjadi kerajaan negeri yang kukuh dan menyelesaikan masalah rakyat serta meredakan kekalutan politik.

Menurut beliau, rekod Barisan Nasional dalam membantu rakyat dan menguruskan dengan baik negeri serta negara ini telah terbukti.

Perkara itu, ujar beliau, tidak berlaku apabila gabungan gagasan lain mengambil tampuk pemerintahan.

Tambah beliau, bahkan rakyat menderita dengan dasar yang menindas serta kegagalan kerajaan dalam menguruskan pembangunan ekonomi negara dan negeri.

“Beliau sedar Melaka kini menjadi tumpuan seluruh negara kerana bakal menjadi tanda aras sokongan rakyat kepada Barisan Nasional selepas tewas pilihan raya umum yang lalu pada 2018,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru para pengundi Melaka supaya memilih kembali Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih besar supaya sebuah kerajaan negeri dapat dibentuk dengan kukuh dan stabil.

 

 

 

(Visited 208 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button