Politik

Semangat setiakawan tetap ada dalam UMNO

KETUA Pemuda Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar menitiskan air mata ketika berucap pada sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023), World Trade Centre, Kuala Lumpur kerana mengimbau kesusahan hidup dan kesempitan kewangan ketika kesihatan ayahnya, Datuk Seri Bung Mokhtar memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan.

Memiliki seraut wajah seiras ayahnya itu, Kurniawan sambal mengesat air matanya berkata, perkhabaran kesihatan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika itu sampai ke telinga para pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang bertindak menghulurkan bantuan kewangan.

“Saya sekeluarga terhutang budi kepada pemimpin-pemimpin parti yang mendapat tahu, orang tua saya sakit pada tahun 2015.

“Ketika itu, tangisan kesedihan mengiringi berita kedukaan dan kami pasrah dan reda kerana tiada kemampuan untuk ayah menjalani rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin-pimpinan UMNO menderma untuk membiayai kos rawatan sehinggalah ayahnya sihat seperti sediakala.

“Saya yakin dan percaya ramai seperti saya. Kita turut sama ikhlaskan diri untuk perjuangan dan saya berharap Majlis Tertinggi (MT) menerima kembali pemimpin-pemimpin yang dipecat atau digantung demi perjuangan dan UMNO,” katanya.

Menurut Kurniawan, PAU2023 Pergerakan Pemuda UMNO  mahu selesaikan masalah tanpa kehadiran rakan-rakan politik yang merupakan hal rumah tangga.

“Kita mahu selesaikan hal rumah sendiri dahulu. Tahun ini biar fokus kembalikan kepercayaan orang UMNO kepada UMNO.

“Kita dapat merasakan bahawa di peringkat akar umbi, takut dengan kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dan UMNO tidak lagi boleh memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputra.

“Kita fahamkan dahulu adik-adik kita supaya kerisauan akar umbi UMNO hilang identiti yang selama ini menjuarai isu berkenaan Melayu dan Bumiputra, terhakis,” jelas beliau.

Katanya lagi, demi survival party, UMNO tiada pilihan kecuali perlu bergabung dan tidak terus termakan dengan cucukan umpama duri dalam daging.

”Kita pernah dipecah belahkan dan diperintah. Kita juga pernah dikhianati dalam usaha menjalin kerjasama.

“Pimpinan parti kita tidak dihormati sehingga memaksa kita untuk menarik diri. Jangan ingat pemimpin UMNO cap ayam,” ujarnya.

Kurniawan berkata, tiada sesiapa yang berada di luar sana yang layak untuk mencatur susun UMNO dan pastinya tidak akan dipatuk oleh ular yang sama sebanyak dua kali.

Kurniawan memuji Ketua Pemuda, Dr. Asyraf Dusuki yang berani, taat dan setia mempertahankan instutusi Presiden.

“Walau pun luar jangkauan, hala tuju yang Presiden ambil adalah yang terbaik dan memberi peluang untuk kita sama-sama memulihkan parti,” katanya.

Tambah beliau, makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang berada di dalam dewan atau di kampung-kampung tidak perlu bimbang kerana Pemuda UMNO tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip perjuangan.

Tunjang perjuangan Pemuda UMNO bersandarkan kepada berani memperjuangkan hak orang-orang Melayu dan Bumiputra, berani menjadi benteng hadapan mempertahankan agama Islam tanpa mendiskriminasi agama lain.

“Kita berani menyuarakan suara akar umbi meskipun bertentengan dengan parti gabungan lain,” katanya yang turut menyokong ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – SM

BACA UMNO perlu anjakan paradigma, dulu boleh letak tunggul nyor jadi calon

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button