Nasional

Kesedaran rakyat Malaysia terhadap keselamatan siber pada tahap sederhana

Berdasarkan trend laporan insiden keselamatan siber yang diterima, CyberSecurity Malaysia (CSM) merumuskan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap keselamatan siber masih berada pada peringkat sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata berdasarkan kedudukan itu, warga digital Keluarga Malaysia perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing pada tahap yang optimum.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia sedar, faham, dan berganding bahu dalam tindakan untuk bersama-sama menjaga keselamatan siber.

“Pada masa yang sama, CSM juga menyusun lebih banyak program kesedaran keselamatan dengan kerjasama pelbagai pihak, merangkumi agensi awam, swasta, NGO, institusi pengajian dan sebagainya,” katanya.

Amirudin berkata sehingga hari ini, CSM melaksanakan pelbagai inisiatif atau program bagi mewujudkan persekitaran atau ekosistem keselamatan siber yang selamat, terpelihara dan berdaya tahan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan CSM ialah menyediakan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber kepada semua sektor (awam dan swasta) dan orang ramai (pengguna Internet).

“CSM turut menawarkan lebih 40 perkhidmatan yang diklasifikasikan di bawah tiga elemen utama dalam Program SiberKASA iaitu Manusia, Proses dan Teknologi.

“Ia bermatlamat supaya orang ramai memahami pentingnya keselamatan siber melalui inisiatif jangkauan luar (outreach), iaitu Program CyberSAFE (CyberSecurity Awareness for Everyone),” katanya.

Program anjuran CSM itu memberi pendidikan, pengetahuan, informasi serta kesedaran kepada pengguna Internet mengenai isu-isu teknikal dan sosial, termasuk bahaya serta ancaman yang akan dihadapi semasa berada dalam talian atau sewaktu melayari Internet.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button