Nasional

Kempen kesedaran bahaya merokok harus diteruskan, Raja Muda Perlis

Rakyat Perlis mestilah terus disedarkan tentang bahaya merokok dan risiko komplikasi teruk sekiranya perokok dijangkiti Covid-19.

Usaha yang berterusan di segenap peringkat baik di tempat kerja, IPT, sekolah, masjid, kampung, taman dan juga lorong diharapkan akan dapat memberi kesedaran dan membantu para perokok untuk berhenti merokok dan seterusnya menjadi contoh terbaik kepada keluarga tercinta, rakan sebaya dan masyarakat.

Marilah kita sama-sama membantu perokok dan melindungi kalangan bukan perokok khususnya ahli keluarga tersayang bagi mendapat hak untuk menghirup udara yang bebas daripada asap rokok.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau yang diadakan pada 31 Mei setiap tahun di seluruh dunia.

Untuk rekod, tema bagi tahun ini adalah “Tekad Untuk Berhenti” (Commit to Quit) yang bertujuan untuk menyedarkan perokok tentang bahaya merokok, kebaikan berhenti merokok serta mengajak mereka untuk berhenti merokok.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa ‘Penggunaan tembakau di dunia membunuh hampir separuh daripada penggunanya. Ianya membunuh hampir 8 juta orang setiap tahun akibat komplikasi tabiat merokok seperti yang dilapurkan oleh WHO Tobacco Fact Sheet 2020.

Menurut Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS 2019), sebanyak 21% rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas menggunakan rokok tembakau, manakala 5% daripada perokok menggunakan rokok elektronik. Kajian yang sama mendapati bahawa, sebanyak 20.6% atau 1 daripada 5 rakyat di Perlis adalah perokok.

Tambah beliau, tiga komplikasi utama akibat merokok adalah Kanser Paru-paru, Penyakit Jantung dan Penyakit Paru-paru Kronik. Penyakit-penyakit ini bukan sahaja akan dihidapi oleh para perokok aktif tetapi juga golongan bukan perokok yang terdedah kepada bahaya asap rokok.

Sementara itu, berbalik kepada isu semasa Covid-19 di negeri ini, Tuanku Raja Muda menasihatkan seluruh masyarakat Perlis supaya jangan lupa mendaftar bagi diri sendiri serta kedua ibu bapa yang dikasihi bagi mendapatkan vaksinasi.

(Visited 416 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button