Mahkamah

Anak Najib setuju selesai cukai taksiran tambahan RM13.16 juta kepada LHDN

DATUK Mohamad Nizar, anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju menyelesaikan cukai taksiran tambahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut beliau membayar cukai berjumlah RM13.16 juta bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Mohamad Nizar, 43, berkata, ini berikutan anak guamnya itu telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu dengan LHDN.

“Sepatutnya perintah persetujuan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan pada 27 Mei lalu namun dijadualkan semula ke 4 Ogos ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas pengurusan kes berhubung rayuan Mohamad Nizar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman secara dalam talian, hari ini.

Prosiding itu turut disertai Peguam Hasil, Muhammad Nabil Abdul Halim yang bertindak bagi pihak LHDN.

Berhubung rayuan Mohamd Nizar, peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui sama ada permohonan anak guamnya itu untuk melapangkan tarikh pendengaran rayuan yang dijadualkan pada 16 Jun, dibenarkan oleh mahkamah sementara menunggu perintah persetujuan direkodkan.

Pada 11 Ogos tahun lepas, Mohamad Nizar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Ogos tahun yang sama, yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Mohamad Nizar.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi perbicaraan.

Pesuruhajaya Kehamiman Datuk Julie LaCK Abdullah dalam penghakimannya memutusakan perkara yang dibangkitan Mohamad Nizar tidak mempunyai merit dan tidak berasas selain berpendapat, pembayar cukai perlu membayar cukainya dahulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah tersebut atau atas apa alasan sekali pun.

Pada 24 Julai 2019, LHDN, melalui kerajaan Malaysia telah memfailkan writ saman terhadap Mohamad Nizar, menuntutnya membayar cukai berjumlah RM13,159,821.94 bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

Selain Mohamad Nizar, Najib dan seorang lagi anak lelakinya, Datuk Mohd. Nazifuddin juga perlu membayar cukai pendapatan kepada LHDN seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib perlu membayar RM1.69 bilion manakala Mohd. Nazifuddin, RM37.6 juta.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilaporkan belum melunaskan bayaran itu menyebabkan LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap mereka dan kes itu masih di peringkat pengurusan di Mahkamah Tinggi. – BERNAMA – SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button