Nasional

Kes pelajar positif Covid-19 di Melaka membimbangkan

MELAKA 26 Januari – Angka kes positif Covid-19 melibatkan pelajar daripada institusi pendidikan di negeri ini dilihat semakin membimbangkan jika semua pihak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kes tersebut menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh purata tujuh hari dan boleh merebak melibatkan sekolah berasrama.

 

Menurutnya, trend tersebut dilihat daripada empat kluster membabitkan dua Kolej Vokasional (KV), sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masih aktif.

 


“Setakat ini empat kluster pendidikan masih aktif iaitu Kluster Jalan Kemendor Jasin melibatkan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang menjangkiti 39 pelajar dan Kluster Jalan Tun Telani yang membabitkan 135 pelajar di KV Melaka Tengah.

 

“Manakala Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2 membabitkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) setakat ini 58 kes dikesan dan juga satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pengkalan Batu yang menjangkiti 29 pelajar di SMKA Sultan Muhammad,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Ops Tahun Baru Ciba (OPS TBC) 2022 di sebuah pasaraya di Malim, di sini pada Selasa.

 

Sehubungan itu kata Rusdi, beliau memohon semua pihak bekerjasama terutama pelajar sekolah, guru dan masyarakat supaya mematuhi kepada SOP sedia ada.

Beliau berkata, walaupun ada yang sudah mendapat tiga dos vaksin namun mereka tidak boleh lalai terhadap SOP tersebut.

“Bagi saya kes positif Covid-19 melibatkan pelajar makin membimbangkan. Saya tidak hairan jika sekolah berasrama lain akan menjadi mangsa selepas ini. Sama-sama kita berjaga-jaga,” ujarnya.

Katanya, daripada 261 kes positif COVID-19 melibatkan pelajar menerusi empat kluster pendidikan ini, hanya satu kes membabitkan varian Omicron dikesan di salah sebuah KV yang terlibat.

 

Jelasnya, selain empat intitusi pendidikan yang mencetuskan kluster, terdapat juga beberapa sekolah yang mempuntai kes jangkitan COVID-19 yang masih aktif, namun belum diisytiharkan sebagai kluster.

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button