Nasional

Mufti Johor minta rakyat tak persoal syarat kebenaran solat Jumaat

UMAT Islam di Johor tidak perlu mempersoalkan syarat kebenaran solat Jumaat yang sudah diputuskan kerajaan negeri pada Selasa lalu kerana ia mengambil kira kesannya kepada rakyat.

Sebaliknya mereka perlu patuh dengan arahan tersebut bagi membendung penularan pandemik Covid-19

Mufti, Datuk Yahya Ahmad berkata, syarat yang ditetapkan itu telah mengambil kira pelbagai perkara termasuk aspek keselamatan dan kesihatan jemaah bagi membendung penularan Covid-19.

Lagi pula katanya, keputusan itu dibuat hasil daripada muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Johor sebelum diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Semua ketetapan yang membabitkan hukum hakam menangani Covid-19 seperti menghadkan bilangan jemaah solat Jumaat sudah diputuskan oleh mufti-mufti dan alim ulama yang berautoriti di Malaysia.


“Akur dan patuhlah tanpa perlu mempersoalkannya lagi. Islam itu agama yang indah, tidak pernah memberatkan atau membebankan umatnya hingga mengakibatkan kepada mudarat yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahya mengulas rasa tidak puas hati seorang lelaki berkenaan bilangan jemaah untuk solat Jumaat di negeri ini yang dihadkan, namun syarat itu tidak dipatuhi apabila ada jemaah berdegil dan solat Jumaat di luar pekarangan masjid.

Pada 8 Februari lalu Exco Hal Ehwal Agama Islan Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi dan Yahya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu namun hanya dihadkan kepada 40 jemaah sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 9 Februari hingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurut Yahya, umat Islam perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan contohnya bila mereka menghadapi keuzuran diberikan keringanan untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk jika tidak berupaya berdiri dan berbaring jika tidak lagi boleh duduk.

“Justeru, kita sekarang berada dalam wabak yang berbahaya. Berapa ramai sudah kesakitan dan terlantar di hospital kerana dijangkitinya. Berapa ramai yang meninggal dunia akibatnya. Bila wabak menular, semua orang wajib berperanan membendungnya.

(Visited 345 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button