MahkamahNasional

Kes dera adik Bella: Tiada peguam sudi bela tertuduh, Siti Bainun

5 peguam tarik diri termasuk dua di saat akhir

SEORANG demi seorang peguam yang mewakili Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik diri daripada mewakilinya.

Ekoran itu, Siti Bainun sebak apabila diberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, dua lagi peguam yang mewakilinya dalam kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella, menarik diri.

Menurut laporan Harian Metro, ini menjadikan Siti Bainun keseorangan tanpa lima peguam bela dalam kes berkenaan.

Ketika berada dalam kandang tertuduh pada prosiding bela diri hari ini, Siti Bainun kelihatan mengesat air mata dan suaranya berubah sebak ketika menjawab pertanyaan Hakim Izralizam Sanusi.

Izralizam ketika memulakan prosiding memaklumkan, beliau menerima notis penarikan diri peguam mewakili Siti Bainun, 31, iaitu Asiah Abd Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan malam tadi.


Izralizam: Saya terima pemfailan daripada kedua-dua firma Asiah dan Nurul Hafidzah menyatakan mereka menarik diri daripada mewakili kamu, jadi secara rekodnya pada hari ini kamu tiada peguam. Kamu tahu tak mereka hendak tarik diri?

Siti Bainun: Puan Asiah ada beritahu malam tadi… hari Sabtu pun dia ada beritahu boleh saja hendak tarik diri sebab timing jadual (bertindih). Tapi dia tak ada cakap pun hendak tarik diri.

Izralizam: Kamu bagi tak dia tarik diri?

Siti Bainun: Mestilah tak… tak apalah nanti saya cuba bincang balik.

Izralizam: Saya pun dapat notis itu malam tadi saya tengok 9 malam (notis tarik diri) difailkan.

Izralizam menetapkan 26 dan 27 Januari sambung perbicaraan dan Siti Bainun diperintahkan mengemukakan status pelantikan peguam baharu pada hari berkenaan.

Beliau turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang boleh memberikan komitmen dan bertanggungjawab dalam mengendalikan kesnya.

“Kamu kena fikir mana peguam yang berikan kebaikan kepada kamu, jangan lantik tiga empat firma (apabila) berlaku (isu) macam ini (tarik diri) tidak beri manfaat kepada kamu.

“Apabila seorang tarik diri, team (pasukan) juga tarik diri. Dapat seorang pun memadai kalau dia dapat mengendalikan kes dengan baik,” katanya.

Sebelum sesi itu berakhir, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas bangun memberitahu bahawa ini kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri daripada kes berkenaan.

“Kami ingin merekodkan ini kali kedua Nurul Hafidzah Hassan menarik diri dari menjadi peguam bela tertuduh dan kami ingin direkodkan bahawa penarikan diri saat ini (akhir) adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Ini juga tidak hormat mahkamah dan tidak memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Kelmarin, prosiding bela diri Siti Bainun ditangguhkan apabila tiga peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor menarik diri.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001. – SM

 

(Visited 117 times, 2 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button