Nasional

Data menunjukkan usaha kerajaan tangani Covid-19 hampiri kejayaan – PM

USAHA yang telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik COVID-19 semakin menghampiri kejayaan.

Beberapa langkah diambil kerajaan PN termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

Menurut Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Mohd. Yassin, perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri di Lembah Klang juga telah mula kelihatan.

“Insya-Allah, data-data yang dikongsikan ini menunjukkan perkembangan yang baik. Segala usaha Kerajaan Perikatan Nasional semakin hampir dengan kejayaan dan insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara.

“Ingin saya ulangi strategi Kerajaan adalah jelas, lebih ramai yang divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk Malaysia yang dilindungi dari jangkitan dengan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam kita dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka supaya kita kembali berperingkat-peringkat ke kehidupan norma baharu.

“Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa COVID-19 adalah musuh utama kita semua,” kata Muhyiddin.

Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa kesemua negeritelah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa telah melebihi 40 peratus.

Semalam apabila buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di WP Labuan.

Sehingga 14 Ogos lalu kadar vaksinasi lengkap di Labuan telah mencapai 88.1 peratus.

Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

Purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

Pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

Hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos.

“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Walau bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, usaha mempercepatkan vaksinasi juga turut ditumpukan di negeri-negeri lain yang sedang mengalami peningkatan kes.

Kerajaan telah membekalkan sebanyak dua juta dos vaksin COVID-19 kepada negeri Johor dan dan akan membekalkan 1.5 juta dos vaksin kepada negeri Sabah dalam bulan Ogos ini.

Setakat ini, sebanyak 44.1 peratus daripada populasi dewasa di dalam negara telah pun menerima vaksinasi lengkap manakala 72.1 peratus telah menerima suntikan dos pertama.

“Semua pencapaian ini tidak mungkin dapat kita lihat pada hari ini tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan strategi yang kukuh oleh Kerajaan, serta kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada rakyat.

“Saya pernah nyatakan dahulu, dan saya akan katakan sekali lagi. Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan,” kata Muhyiddin.-SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button