Nasional

Kes Covid-19 di Semenanjung libatkan individu pulang dari Sabah meningkat

KES baharu Covid-19 di Semenanjung melibatkan individu yang pulang dari Sabah semakin meningkat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, di Selangor daripada 10 kes baharu sebanyak lapan kes saringan pulang dari Sabah yang kesemuanya melibatkan warganegara.

Di Pahang daripada empat kes baharu yang dilaporkan tiga kes adalah saringan pulang dari Sabah yang turut
melibatkan warganegara.

Manakala di Kuala Lumpur daripada tiga kes baharu yang direkodkan satu kes adalah saringan pulang dari Sabah yang juga melibatkan warganegara.

Di Johor dua kes dan di Melaka satu kes saringan pulang dari Sabah yang turut melibatkan warganegara.

Kesemua kes terbabit merupakan sebahagian daripada 150 kes baharu yang dikesan dari 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari tadi.

Sabah mencatatkan kes jangkitan paling tinggi iaitu 124 kes. Ini termasuk sebanyak 58 kes daripada Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau mencatatkan 20 kes, Kluster Bakau 13 kes, Kluster Pulau 10 kes dan tiga kes daripada Kluster Buang Sayang.

Sebanyak lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kg. Sakong.

Manakala di Sarawak pula dua kes baharu melibatkan pekerja di Immigration Quarantine Security
(IQS) Merapok, Lawas yang merupakan warganegara Malaysia.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia ketika ini melonjak kepada 950 kes.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,  terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 134 kes.

Kes kematian ke-134 (iaitu kes ke-10491) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 81 tahun. Kes mula mengalami gejala demam dan batuk berkahak pada 14 September 2020 dan telah dibawa ke Hospital Semporna pada 17 September 2020.

“Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September 2020. Pada 26 September 2020 kes telah dipindahkan ke Hospital Tawau, Sabah. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Beliau disahkan meninggal dunia pada 27 September 2020 jam 12.52 pagi,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button