Nasionalpilihan

Dua lelaki hadapi tuduhan bunuh seorang pengurus syarikat

Dua lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh seorang pengurus sebuah syarikat dua minggu lalu.

Tertuduh A. Deebanahsok, 27, seorang pengawal peribadi dan Patrick Chu Chee Guan, 36, ejen judi online hanya menunduk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mereka dituduh secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki yang dikenali sebagai M. Sandrasekeran, 33.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan 3/25 Taman Kenanga dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 3.30 hingga 4.30 pagi, pada 9 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya, J.Banusha pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302 manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mathan Anandaram.

Majistret Mazana kemudian menetapkan 30 Jun ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Akhbar sebelum ini melaporkan gara-gara dipercayai bercakap mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita, pengurus sebuah syarikat maut ditikam seorang pelanggan lain di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi 9 Mei, mangsa meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Melaka akibat parah ditikam di jantung.

Susulan itu, polis menahan sembilan individu berusia antara 20 hingga 38 tahun termasuk sepasang kekasih bagi membantu siasatan. – SM

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button