fbpx
Nasional

Peraturan PKPP diwartakan

PERATURAN-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mula berkuat kuasa hari ini telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan.

Mengikut warta berkenaan yang kini boleh dimuat turun daripada laman web rasmi Jabatan Peguam Negara, aktiviti yang dilarang dalam tempoh penguatkuasaan PKPP sehingga 31 Ogos ini ialah:

1.Penganjuran acara dan pertandingan sukan.

2. Sukan sentuh.


3. Aktiviti taman tema air dan taman air.

4. Aktiviti kolam renang (selain aktiviti kolam renang di rumah persendirian dan di kolam renang untuk kegunaan persendirian di premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]) kecuali untuk latihan atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

5. Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia.

6. Aktiviti di pusat karaoke, tempat permainan kanak-kanak di pusat membeli-belah dan pusat hiburan keluarga.

7. Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam.

8. Menyedang pakaian, penggunaan bilik acu di kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen di kedai dan menyediakan sampel penguji kosmetik di kedai.

9. Aktiviti refleksologi dan urut di pusat kesihatan dan kecantikan.

10. Aktiviti kapal persiaran.

11. Apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

 

Menurut warta itu, peraturan-peraturan berkenaan hendaklah terpakai bagi kawasan tempatan jangkitan yang diisytiharkan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 [P.U. (A) 87/2020] sebagaimana yang dilanjutkan dari semasa ke semasa.

Seperti fasa Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, di bawah pewartaan PKPP ini, orang ramai tidak dibenarkan keluar masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, kecuali yang memberikan perkhidmatan jagaan kesihatan dan perubatan atau yang diberikan kebenaran oleh pegawai diberi kuasa.

Peraturan tersebut juga melarang sebarang aktiviti perarakan, manakala perhimpunan, termasuk bagi aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadat adalah tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Begitu juga dalam isu pengangkutan awam, jumlah maksimum kapasiti penumpang yang boleh dibawa menaiki sama ada pengangkutan darat, laut atau udara adalah tertakhluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Seperti yang diumum kerajaan, di bawah peraturan ini, mana-mana warganegara, pemastautin tetap, ekspatriat, kor diplomatik, atau mana-mana orang asing yang dibenarkan Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba, sebelum diberi pelepasan imigresen.

Mereka juga hendaklah mematuhi apa-apa arahan pegawai diberi kuasa dan sekiranya mereka diarahkan menjalani kuarantin di rumah, individu tersebut harus memakai gelang tangan yang disediakan.

Pegawai yang diberi kuasa juga boleh meminta apa-apa maklumat yang berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit daripada mana-mana orang atau kumpulan orang.

Di bawah peraturan berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan boleh mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa jua cara kepada sesiapa sahaja yang melakukan, menganjurkan, mengusahakan, atau yang terlibat dalam aktiviti selain aktiviti yang dilarang, supaya mengambil langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan atau arahan, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button