Nasional

Tangguh dahulu ziarah dan umrah ke Arab Saudi

RAKYAT Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak COVID-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak COVID-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ …juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara-negara yang mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci  berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya. – BERNAMA

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button