Nasional

Kes Covid-19 di Negeri Sembilan melonjak

Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes.

Lonjakan kes di negeri itu adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan di negeri tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, kes-kes tersebut adalah terasing kerana berlaku dalam kawasan penjara.

Keseluruhan Malaysia mencatatkan 1,600 kes baharu dengan hanya tiga kes merupakan jangkitan dari luar negara.

Selangor menjadi negeri kedua tertinggi mencatatkan kes baharu iaitu 426 kes diikuti negeri Sabah 248 kes.

“Secara keseluruhan, 584 kes (36.5 peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan dengan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Membabitkan Kluster Bakti (500 kes), Kluster Tembok (49 kes), Kluster PTS Sibuga (17 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes), Kluster Matambai (7 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster GK Tawau (1 kes).” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya ketika ini 129 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan. Keseluruhan terdapat 11,604 kes aktif Covid-19 sedang dirawat.

Sementara itu dua kes kematian dilaporkan akibat Covid-19. Kedua-dua kes berlaku di Sabah melibatkan seorang wanita berusia 76 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elibeth dan seorang lelaki berusia 59 tahun yang meninggal dunia di Hospital Semporna.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut melaporkan pertabahan dua kluster baharu.

Kluster Malawati melibatkan daerah Kuala Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-65188) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 143 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif Covid-19.

Kluster Tabak Bina Awam Lembah melibatkan daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta daerah Klang di Selangor.

Dua (2) kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-69722 dan kes ke 71992) telah dilaporkan positif Covid-19 sejak 4 Disember hasil saringan individu bergejala dan saringan kendiri.

Kedua-dua kes indeks adalah pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini sejumlah 441 individu telah disaring dan 35 kes telah dikesan positif Covid-19.

Dr. Noor Hisham berkata, ketika ini terdapa 187 kluster aktif dengan 51 daripada kluster tersebut melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bakti (500 kes), Kluster Batu Tujuh (53 kes) dan Kluster Tembok (49 kes).-SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button