Politik

Kerjasama Pas, BN, Bersatu mantap, berjaya perkukuh PN hadapi PRU15

KERJASAMA politik antara Pas, BN dan Bersatu semakin mantap sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan terus komited mendukung dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bersama barisan Kabinet yang terdiri dari semua parti-parti anggota.

Justeru menurut beliau, parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri-negeri sehingga akhir penggal,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, adalah satu fakta kerjasama politik antara PAS dengan BN khususnya UMNO telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September tahun lalu sekaligus membentuk Muafakat Nasional.

Manakala kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan PH pada 29 Februari lalu diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden-Presiden BN, PPBM, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN.

Semalam Dr. Maszlee Malik yang terlucut keahlian Bersatu berkata, kedudukan Bersatu sangat rumit dan tersisih dalam kerjasama dengan UMNO dan Pas.

BACA Bergayut di dahan PN jalan sukar dan payah buat Bersatu – Maszlee

Beliau melontarkan persoalan melalui kerjasama PN berapa jumlah kerusi yang PAS sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada Umno dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Manakala UMNO pula disifatkan sebagai parti dominan dalam PN dan tidak ada pimpinan UMNO yang membantah atau mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

“UMNO ialah parti dominan dan sudah tentulah calon perdana menteri bukan lagi Muhyiddin, tetapi daripada Umno. Calonnya sudah tentu Najib atau Zahid Hamidi,” kata Maszlee dalam kenyataan yang ditulis di Facebook beliau.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button