fbpx
Politik

Darurat: Anwar juga berperanan cetuskan suasana gawat

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menempelek Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya kerajaan akan berubah menjadi diktator jika darurat dilaksanakan.

Menurut Annuar, Presiden PKR itu seharusnya menerima hakikat bahawa dia turut berperanan dalam mencetuskan suasana gawat dalam negara.

“Apabila dia mengumumkan ada sokongan dan menghadap Agong dengan membawa beberapa dokumen yang tidak seperti beliau dakwa. Beliau dakwa, ada nombor, ada dokumen-dokumen yang cukup meyakinkan. Kemudian kita tunggu-tunggu dia menghadap, satu nama pun dia tidak serahkan.

“Dan ramai lagi ahli Parlimen UMNO dan BN seramai 42 orang setakat yang saya periksa boleh dikatakan hampir semuanya tidak pernah dihubungi dan tidak tahu. Tapi nama kami melalui surat tertentu misalnya telah cuba digunakan untuk mempengaruhi Agong. Kalau nak ikutkan, itu juga tidak beretika,” kata Annuar.

Semalam, Presiden PKR itu menyifatkan keputusan kabinet untuk melaksanakan “darurat” memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.


Ketua pembangkang itu bimbang dengan laporan berita yang mengandaikan kerajaan mahu menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi menyekat proses parlimen.

Anwar berkata, dengan melaksanakan “darurat”, kerajaan PN menonjolkan kelemahannya dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang dihadapi.

Sementara itu Annuar berkata, kerajaan hanya mengambil langkah yang pada akhirnya menyenangkan rakyat.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, tidak adil untuk melemparkan tuduhan sebelum mendengar penerangan daripada kerajaan.

“Sebab bila sebut soal darurat orang awam bayangkan curfew. Orang awam bayangkan darurat semasa 13 Mei. Tapi kita terlupa pada waktu banjir di Manik Urai polimik di media baharu kenapa kerajaan tidak isytiharkan darurat. Itu namanya darurat banjir. Darurat ada pelbagai jenis.

“Tapi apapun tunggulah kerajaan, belum buat apa-apa keputusan. Kerana segala-galanya mesti mengikut jalur perundangan.

“Jadi, kalau kerajaan belum buat kita sudah menjatuhkan hukum kata kerajaan nak jadi diktator, perdana menteri nak menyelamatkan diri, saya fikir itu tidak adil,” tegas Annnuar.

Menurutnya, terdapat banyak kategori darurat di bawah Perkara 150. Antaranya termasuk soal keselamatan dan soal kesejahteraan ekonomi.

Sama ada Covid termasuk dalam kategori darurat atau tidak memerlukan rujukan kepada pakar undang-undang.

Menurut Annuar sehingga kini terdapat 32 negara yang sudahpun mengisytiharkan darurat disebabkan Covid-19.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button