Politik

Kerajaan baharu: Najib, Zahid tidak akan jadi anggota – Dr. M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaannya jika kerajaan baharu berjaya dibentuk.

Ahli Parlimen Langkawi itu yang percaya bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan tewas dalam pengundian Belanjawan dalam bacaan kali ketiga berkata, beliau tidak dapat menerima Najib sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Katanya, hanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin boleh menerima Najib sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Dengan Datuk Seri Najib saya tidak boleh bekerjasama. Saya minta maaf. Saya dijemput untuk menjadi perdana menteri sebelum Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Saya kata kepada mereka satu kerajaan yang bergantung kepada Najib untuk jadi kerajaan bukanlah satu benda yang saya boleh terima. Tapi muhyiddin kata dia boleh terima. dia ambilah,” tegas Dr. Mahathir.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini bersama-sama dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menjadi musuh politiknya satu ketika dahulu.

Dr. Mahathir berterus terang bahawa beliau akan menolak Belanjawaan 2021 untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

Beliau juga ditanya, adakah Najib dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk akan diterima jika mereka juga menolak Belanjawan tersebut.

“Mereke boleh sokong tetapi mereka tidak akan akan menjadi anggota Kerajaan jika saya berjaya melakukannya,” kata Dr. Mahathir.

Dia yang ditanya berkali-kali sama ada akan menjawat jawatan perdana menteri, akhirnya menjawab dia akan menjadi perdana menteri jika majoriti ahli Parlimen menyokong pemilihan beliau.

“Ianya bukan persoalan sama ada sanggup atau tidak. Tapi ia adalah untuk ahli Parlimen putuskan. Jadi kalau semua undi saya, saya akan jadi perdana menteri esok,” kata Dr. Mahathir.

Dalam sidang akhbar itu, Mahathir dan Tengku Razaleigh menyatakan mereka akan bekerjasama untuk mentabir negara sekiranya kerajaan kalah dalam pengundian bagi bacaan kali Belanjawan 2021.

Mereka mendakwa, negara kini ketinggalan daripada segala segi termasuk ekonomi dan pembangunan. Meraka mahu pastikan Malaysia bangkit semula menjadi ‘Harimau Asia’.-SM

 

 

(Visited 1,678 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button