Politik

BERSATU dan PN tak khianat UMNO di PRN Sabah

PENJELASAN yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang tomahan kononnya UMNO dikhianati oleh parti BERSATU dan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas, amat menarik dan menyakinkan. Begitu pandangan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Melaka itu, seperti juga Langkah Sheraton yang selalu difitnah dan dikeji namun Langkah ini adalah langkah keramat yang telah merubah lanskap politik Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga berpendapat, Langkah Sheraton adalah manifestasi keberanian pemimpin-pemimpin Melayu BERSATU memutuskan talian hayat Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu sedang mabuk didominasi oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PRK) yang mencabar situasi “political equlibrium” negara yang mempertahan dan memelihara hak-hak majoriti rakyat untuk mendapatkan keadilan sosio-ekonomi untuk semua kaum dengan menolak dominasi dan monopoli mana-mana kaum terhadap kemakmuran negara ini.

Memberi peluang kepada UMNO yang telah tersungkur dan berada di luar koridor kuasa bersama-sama menerajui kepimpinan negara semula dengan rakan-rakan yang lain dengan semangat Penyatuan Umat Melayu, Muslim dan Pribumi se-Malaysia, kata Abd Rahim.

Serentak dengan perubahan positif dan strategik diatas, ujar beliau, parti BERSATU selaku pengasas Langkah Sheraton menegaskan pendiriannya untuk terus memperkasakan amalan Kedaulatan Undang-Undang di negara ini, menolak budaya rasuah dan kleptokrasi serta menginginkan kewujudan sebuah kerajaan yg bersih demi untuk kepentingan rakyat.

“Malangnya segala pengorbanan ikhlas dan patriotik yang dibuat oleh BERSATU dan PN ini telah dibalas dengan pelbagai tomahan dan tindakan negatif lagi destruktif oleh UMNO,” kata Abd Rahim dalam catatan beliau.

Pada hemat beliau, perbuatan UMNO yang tidak masuk akal ini dan kegilaan mereka untuk merampas semua kuasa politik di negara ini bertunjangkan kepada kepercayaan:

(i) BERSATU anti-kluster mahkamah dan tidak mahu Kedaulatan Undang-Undang dikompromikan dengan meletakkan kepentingan peribadi melebihi dan mengatasi kepentingan organisasi dan nasional.

(ii) BERSATU dianggap kononnya akan menjadi pengganti kepada UMNO untuk menjadi tonggak kepimpinan negara.

(iii) Persepsi mereka lagi banyak kuasa, lagi senang untuk mengumpul harta dan menjadi cepat kaya raya.

“Kalau inilah persepsi dan pegangan UMNO maka keyakinan seperti ini adalah sebenarnya satu yang memalukan (insult) atau penghinaan yang teruk terhadap kewarasan dan kebijaksanaan rakyat dalam menilaikan satu-satu perjuangan politik di negara ini.

“Lebih-lebih lagi dengan kehadiran jutaan pengundi-pengundi muda yang mempunyai idealisme dan wawasan yang lebih patriotik dan nasionalistik terhadap Malaysia,” kata Abd Rahim lagi.

Perjudian UMNO untuk merampas seluruh kuasa politik di negara ini melalui Pilihanraya-Pilihanraya Umum Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, kata Abd Rahim lagi, adalah dengan tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang tidak patriotik dan tidak islamik sama sekali.

“Insya-Allah… Allah Maha Adil dan Maha Melihat terhadap sesuatu yang tersembunyi dan yang terancang secara penuh muslihat,” kata Abd Rahim. – SM

(Visited 1,696 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button