PolitikRencana

Dr. Mahathir, Guan Eng tak bising, mengapa Rafidah kecoh?

Komentar

BARU sekarang bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan pelantikan ahli-ahli Parlimen mengetuai banyak syarikat milik kerajaan (GLC).

Dulu waktu Pakatan Harapan (PG) memerintah tak kecoh pun. Hari ini dia bercakap pula pasal perlunya orang yang mentadbir negara kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.

“Jelas sekali, ‘gear undur’ telah dimasukkan dan di sini negara sedang bergerak ke belakang,” kata beliau dalam kiriman Facebooknya hari ini.

[BACA] Negara bergerak ke belakang jika ahli Parlimen ketuai GLC – Suara Merdeka

Mengapa Rafidah kecoh andai kata kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu terus membuat pelantikan sedemikian.

Di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, pelantikan beberapa ahli politik dalam GLC nya termaktub dalam enakmen negeri berkenaan.

Walaupun ada kebimbangan berkemungkinan berdepan dengan percanggahan kepentingan yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab, namun isu itu ditolak ke tepi.

Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya 7 Oktober 2019 mengenai isu itu,
mempertahankan tindakan kerajaan PH membuat lantikan politik bagi jawatan penting dalam beberapa GLC.

Kata beliau, kerajaan pimpinannya akan meneruskan dasar melantik mereka yang banyak berjasa kepada parti dan memenangkan PH pada Pilihan Raya Umum, berkebolehan serta berkelayakan.

“Inilah masalahnya, kita tidak patut bagi mana-mana jawatan kepada orang yang bekerja keras menangkan parti, tetapi yang dapat nikmat jawatan adalah mereka yang tidak membantu parti.

“Apabila ini berlaku, maka kecewalah mereka yang bertungkus lumus membantu PH. Atas sebab itulah, kita pilih orang yang ada kaitan sikit dengan parti sebab ada kelayakan,” katanya kepada media.

[BACA] Dr. Mahathir `pasti malu’ jika masih sekongkol dengan DAP, PKR — Suara Merdeka
[BACA] Menteri di Somalia maut akibat Covid-19 — Suara Merdeka

Malah, Menteri Kewangan waktu itu, Lim Guan Eng mempertahankan pelantikan ahli politik PH yang menyertai entiti GLC, sambil menekankan ia tidak berleluasa dan bukan pada peringkat kebangsaan. Bahkan kata Setiausaha Agung DAP itu lagi, ia bukan isu kerana GLC berkenaan ditadbir secara profesional.

Lebih `dahsyat’ lagi, PH melanggar Janji 22 manifesto mereka yang menyebut: ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.”

Sebab itu rakyat tidak pelik banyak juga GLC didominasi kalangan orang politik dari DAP.

Antaranya:

  1. Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Malaysian Timber Industry Board (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, MTIB) pada Ogos 2018.
  2. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada November 2018.
  3. Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Labuan Port Authority (Lembaga Pelabuhan Labuan, LPA) pada Februari 2019.
  4. Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Sustainable Energy Development Authority (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, SEDA) pada Julai 2019.
  5. Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, yang telah dilantik sebagai Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, NIOSH) pada Oktober 2019.
  6. Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Port Klang Authority (PKA) (Lembaga Pelabuhan Klang, PKA) pada Mei 2019.
  7. Dr John Brian Anthony, yang merupakan Ahli Jawatankuasa CEC DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Bintulu Port Authority (Lembaga Pelabuhan Bintulu, BPA) pada November 2018.
  8. Jeffrey Chew Gim Eam, yang merupakan mantan Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Penang Port Commission dan Pengerusi Penang Port Commission Teluk Ewa (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Teluk Ewa, PPC dan PPC Teluk Ewa) pada Mac 2019.

Rakyat semasa era kerajaan PH terus dihidangkan dengan tindak tanduk melanggar janji manifesto gabungan parti-parti politik mereka dengan pelantikan Pengerusi PH Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkuat kuasa 1 Mac 2019.

Begitu juga dengan pelantikan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga berkuat kuasa 1 Mac tahun lepas.

Ramai lagi, antaranya aktivis undang-undang dari Parti Bersatu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd dan Datuk Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

[BACA] Berbanggalah dengan negara sendiri Dr. Dzulkefly! — Suara Merdeka
[BACA] Setiap kita ada peranan – Raja Muda Perlis — Suara Merdeka

PH turut melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Faiz Naaman (Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan Exco ARMADA Nasional) di Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan isteri Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Junaidah Kitting sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

Nama-nama lain seperti Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil dengan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAN Nasional, Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Jadi, tiada isu ya Tan Sri Rafidah! – SM

(Visited 479 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button