Sukan

Kecuaian Djokovic: Bola terkena penjaga garisan

Tidak sengaja bola dipukul terkena penjaga garisan

NOVAK Djokovic akhirnya bersuara apabila dia memohon maaf setelah secara tidak sengaja memukul seorang penjaga garisan dengan bola tenis yang mengakibatkan pemain itu disingkirkan daripada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Djokovic pernah diejek oleh penonton di Stadium Arthur Ashe, 12 bulan lalu, selepas dia menarik diri sewaktu menentang Stan Wawrinka di pusingan keempat ekoran kecederaan.

Namun, pada kejohanan kali ini, tiada penonton yang hadir, dia berjalan keluar dalam keadaan yang senyap sunyi dan apa yang lebih memalukan Djokovic, dia terpaksa berbuat demikian selepas disingkirkan daripada pertandingan tersebut.

Selepas bertarung sengit dalam set pertama menentang pemain Sepanyol, Carreno Busta, Djokovic kemudiannya ketinggalan 6-5.

Sewaktu dia berjalan ke arah tempat duduknya, Djokovic telah memukul bola tenis ke arah belakang gelanggang, namun, dia kurang bernasib baik apabila bola itu mengenai leher penjaga garisan.
Wanita itu terjatuh ke gelanggang dan dia berdepan kesukaran untuk bernafas.

Djokovic dengan segera memeriksa penjaga garisan itu, tetapi malangnya insiden tersebut telah berlaku.
Hasil perbincangan dengan Pengadil Pertandingan Terbuka AS, Soeren Friemel dan Penyelia Grand Slam, Andreas Egli, Djokovic didapati bersalah dan tersingkir daripada perlawanan tersebut yang sekali gus menguburkan harapannya merangkul gelaran Grand Slam ke-18.

Djokovic yang sepatutnya bercakap kepada media selepas perlawanan, bagaimanapun, bertindak sebaliknya apabila dia meninggalkan Pusat Tenis Nasional Jean King dengan sebuah kereta bersama pasukannya.

Namun, dalam kenyataannya beberapa jam berselang, Djokovic akhirnya mengulas mengenai insiden yang berlaku dan memohon maaf di atas tingkah lakunya.

“Situasi ini menyebabkan saya berasa sedih. Saya telah memastikan keadaan penjaga garisan dan pihak penganjur memaklumkan dia berada dalam keadaan baik, syukur kepada Tuhan.

“Saya memohon maaf menyebabkan dia berasa tertekan. Saya memang tidak sengaja. Silap saya. Saya tidak mendedahkan namanya bagi menghormati hak peribadinya.

“Berhubung penyingkiran, saya perlu bangkit daripada kekecewaan ini dan menjadikan insiden yang berlaku sebagai pengajaran sebagai pemain dan juga manusia biasa.

“Saya mohon maaf kepada kejohanan @usopen dan semua orang yang terbabit sama ekoran tingkah laku saya.

“Saya bersyukur kepada pasukan dan keluarga yang memberikan sokongan penuh kepada saya, serta peminat yang sentiasa berada di sisi saya. Terima kasih dan saya mohon maaf,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, USTA (Persatuan Tenis Amerika Syarikat) mengesahkan, Djokovic boleh kehilangan mata rankingnya dan dikenakan denda daripada wang hadiah penyertaannya pada pertandingan itu.

Tersingkirnya Djokovic bermakna Terbuka AS kini tanpa bekas juara Grand Slam dalam kalangan pemain yang mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 1997. Salah seorang pemain yang masih bersaing merebut gelaran adalah Alexander Zverev.

Dia melangkah ke suku akhir selepas mempamerkan kemenangan mengagumkan 6-2, 6-2, 6-1 ke atas Alejandro Davidovich Fokina dan bintang tenis Jerman itu teruja tentang peluangnya merangkul gelaran kini lebih terbuka.

“Pertandingan ini bakal ada juara baharu Grand Slam. Itu sahaja yang saya tahu setakat ini. Dalam undian utama, tiada lagi pemenang Grand Slam yang masih bertarung.

“Saya fikir, persaingan bakal berlangsung antara pemain muda, jika anda mengambil kira Dominic Thiem sebagai pemain muda juga. Dia turut mempunyai peluang untuk menjuarai pertandingan ini.

“Sekarang persaingan semakin menarik. Sudah tiba masanya ia menjadi sangat menarik. Yeah. Saya tahu siapa yang masih dalam undian. Saya juga tahu siapa yang boleh bermain,” kata Zverez. – Daily Express – SM

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button