Bola SepakpilihanSukan

Harimau Malaya berjaya melangkah ke final selepas ‘terkam’ Thailand!

Kuala Lumpur: Dua pemain Harimau Malaya, Corbin Ong dan Syihan Hazmi layak dinobatkan wira negara apabila aksi cemerlang mereka memastikan Malaysia menewaskan Thailand pada Piala Raja Thai, malam ini.

Corbin menjaringkan gol pendahuluan sebelum Syihan menyelamatkan sepakan penalti penentuan untuk menang 5-3, selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar di Stadium 700th Anniversary di Chiang Mai.

Skuad negara hampir melakar kemenangan selepas mendahului hampir 60 minit sebelum skuad Gajah Perang itu menyamakan kedudukan 30 saat sebelum tamat aksi sebenar.

Keputusan seri itu dilihat cukup bermakna apabila Malaysia mengekalkan rekod bersih ke atas lawan apabila tidak pernah tewas dalam enam pertemuan sejak 2014 dengan kali terakhir Malaysia menang 1-0 pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu, Jun tahun lalu.

Malaysia yang pernah menjuarai Piala Raja Thai sebanyak empat kali pada 1972, 1976, 1977 dan 1978 itu memberi amaran awal apabila Darren Lok hampir mencetak gol selepas cuba mencuri bola daripada penjaga gol Thailand, Kampon Pathomakkakul di minit ke-12, namun ia sempat ditolak keluar penjaga gol itu.


Penyokong tuan rumah tampak kecewa apabila arkitek tengah Chanatip Songkrasin terpaksa dikeluarkan di minit ke-14 ekoran kecederaan dialaminya nyata mengganggu kelancaran enjin pasukan itu.

Sebaliknya ia memberi kelebihan buat skuad negara untuk menguasai bahagian tengah dan beberapa peluang tercipta termasuk rembatan luar kotak penalti Arif Aiman yang sedikit tersasar di minit ke-17.

Corbin akhirnya memecah kebuntuan di minit ke-32 apabila dia bijak membaca hantaran lambung Safawi Rasid untuknya mudah menampan masuk gol pertama buat negara, yang juga gol ketiganya sepanjang 20 penampilan di peringkat antarabangsa.

Thailand cuba bangkit menerusi satu gerakan serangan balas di minit ke-39 dengan Bordin Phala melepaskan satu rembatan padu ke arah Syihan, namun ia sempat ditepis penjaga gol Negeri Sembilan FC itu buat menghampakan penyokong tuan rumah.

Aksi babak kedua lebih rancak apabila Malaysia hampir menambah gol kedua, namun tandukan Lok berjaya dibaca Kampon selepas penyerang Petaling Jaya City itu memanfaatkan hantaran Brendan Gan di minit ke-60.

Kem negara seharusnya berterima kasih kepada Syihan yang menyelamatkan tiga peluang keemasan Thailand dengan melakukan aksi menyelamat cemerlang masing-masing di minit ke-62, 70 dan 76.

Ketika perlawanan hampir menuju wisel penamat, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nor Azam Azih dilayangkan kad kuning kedua selepas dia menjatuhkan pemain tuan rumah di depan kotak penalti negara.

Kesempatan itu diambil sebaiknya dan sepakan percuma berjaya ditanduk Pansa Hemviboon untuk mengikat kedudukan 1-1, sekali gus mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Tuah nyata memihak Malaysia apabila berjaya menyempurnakan semua lima sepakan, manakala tuan rumah kecewa apabila Syihan berjaya menghalang sepakan keempat diambil Supachok Sarachat.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya mara ke final berdepan Tajikistan, pada Ahad ini selepas pasukan itu menang 2-1 ke atas Trinidad & Tobago di sebelah petang.

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button