Bola SepakSukan

Presiden FUFC meninggal dunia akibat komplikasi jantung

PRESIDEN Felda United FC (FUFC) Anuar Malek meninggal dunia kira-kira 3 pagi semalam di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara akibat komplikasi jantung.

Allahyarham berusia 57 tahun.

Setiausaha Agung FUFC Afizal Abu Othman berkata jenazah Allahyarham  dimandi dan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuala Pilah selepas solat zuhur semalam.

Memetik laporan Bernama, Afizal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang amat berdedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya, selain berjaya membawa pembaharuan ke dalam skuad ‘The Fighters’ yang sebelum ini bergelut dengan krisis kewangan.

Beliau turut mengakui Allahyarham amat rapat dengan pegawai dan pemain pasukan Felda United, selain kerap turun padang bagi memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan ketika beraksi dalam saingan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Beliau dilantik sebagai Presiden FUFC pada Mac tahun lepas dan telah membawa banyak pembaharuan dalam pasukan Felda United.

“Pembaharuan paling ketara yang dibawa oleh Allahyarham adalah mengetengahkan anak-anak Felda dalam pasukan pembangunan Felda United, selain turut membawa masuk sebahagian besar anak-anak Felda ke dalam skuad utama Liga Super,” jelas Afizal ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1982, selain pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Komuniti Felda pada 2013.

Anak jati Felda Sungai Kelamah, Gemas itu dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Besar (Perladangan dan Pembangunan Peneroka) Felda sejak 2015 sehingga kini.

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button