Sukan

Kisona berdepan dua ikon sukan rebut Anugerah SAM-100PLUS 2019

KEJUTAN dilakar S. Kisona meraih pingat emas pada Sukan SEA di Filipina tahun lepas, menyaksikan pemain badminton muda negara itu dicalonkan bagi merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019.

Pencalonan Kisona itu susulan kejayaan di luar jangkaannya meraih pingat emas perseorangan wanita pada temasya dwitahunan tersebut, sekali gus mempertahankan gelaran kali kedua berturut-turut buat Malaysia dalam acara tersebut selepas Goh Jin Wei melakukannya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Kisona, 21, yang dicalonkan buat pertama kali bagi anugerah berkenaan, akan bersaing dengan dua ikon sukan tempatan, ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan jaguh keirin negara Mohd Azizulhasni Awang bagi anugerah berprestij tersebut.

Farah Ann pula cemerlang meraih tiga pingat emas pada Sukan SEA 2019 manakala Mohd Azizulhasni muncul juara Kejohanan Basikal Trek Siri Dunia 2019 di New Zeland dengan menewaskan bekas juara dunia Shane Perkins dari Rusia dan juara dunia kelahiran Australia, Matthew Glaetzer.

Turut dicalonkan bagi anugerah tersebut ialah atlet wushu yang meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2019 Loh Choon How serta Julian Yee yang berjaya mempertahankan pingat emas acara luncur ais untuk kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada Sukan SEA 2017.

Sementara itu, atlet kelahiran Sarawak Bonnie Bunyau Gustin yang muncul pemenang pingat emas di Kejohanan Dunia Para Powerlifting dicalonkan bagi merebut Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

Bonnie, bagaimanapun bakal berdepan tentangan sengit daripada atlet memanah para negara yang telah layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu S. Suresh dan Wiro Julin, serta jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhd Ziyad Zolkefli yang meraih pingat perak pada Sukan SEA 2019.

Presiden SAM Jasni Shafie berkata pemenang kedua-dua anugerah utama itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi pada majlis anugerah itu yang dijadual berlangsung di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, 12 Ogos ini.

“Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2019, turut akan diraikan pada majlis Anugerah SAM-100PLUS itu adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000,” katanya.

Anugerah dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik, katanya pada sidang media di Auditorium ABM, hari ini.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.  – BERNAMA

(Visited 377 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button