Bola SepakSukan

Liga Perdana kritik ‘penyatuan hati’ Liverpool, United

LIGA Perdana Inggeris, hari ini, mengeluarkan kenyataan menyelar cadangan yang mampu ‘merosakkan’ wajah bola sepak England selama-lamanya.
Difahamkan, Liverpool dan Manchester United didakwa mengetuai cadangan yang membawa usul kepada beberapa perubahan dalam Liga Perdana.
Antara perubahan yang dicadangkan ialah mengurangkan jumlah pasukan dalam liga utama kepada 18 pasukan, dengan Piala Liga dan Piala Perisai Komuniti dihapuskan.
Cadangan yang telah dikemukakan oleh pemilik Liverpool, Fenway Sports Group dan mendapat sokongan daripada United turut berjanji akan membantu Liga Bola Sepak bagi mengurangkan beban kos untuk peminat menyaksikan perlawanan di tempat lawan.
Namun, Liga Perdana jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyifatkan banyak elemen pada usul berkenaan mampu menjahanamkan bola sepak selama-lamanya.
“Kami telah membaca laporan media, hari ini, berhubung perancangan bagi menstruktur semula bola sepak di negara ini.
“Bola sepak di England memiliki tontonan paling tinggi di dunia dengan semangat, dinamik dan struktur liga yang kompetitif telah berjaya menarik minat dari seluruh dunia.
“Untuk mengekalkan kedudukan ini, amat penting kita saling bekerja sama.
” Liga Perdana dan Persatuan Bola Sepak (FA) menyokong perbincangan menyeluruh mengenai masa depan perlawanan termasuk struktur pertandingan, kalendar dan keadaan kewangan khususnya ekoran Covid-19.
“Bola sepak mempunyai ramai pemegang taruh, oleh itu, pekerjaan ini harus dilakukan melalui saluran yang betul bagi membolehkan semua kelab dan pihak berkepentingan peluang untuk memberikan sumbangan.
“Bagi pandangan Liga Perdana, beberapa cadangan individu yang diterbitkan, hari ini, mampu merosakkan keseluruhan permainan.
“Kami kecewa menyaksikan Pengerusi EFL, Rick Parry memberikan sokongannya terhadap cadangan berkenaan.
“Liga Perdana telah meletakkan kepercayaan kepada kelab-kelab dan EFL bagi mencari jalan penyelesaian untuk keperluan dana Covid-19. Usaha itu akan diteruskan,” kata Liga Perdana dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Perincian dokumen ‘rombakan’ tersebut bakal menyaksikan kejutan terbesar dalam Liga Perdana sejak awal 1992.
Liverpool dan United berharap Chelsea, Arsenal, Manchester City dan Tottenham dapat menyertai mereka untuk menyokong usul tersebut.
Antara perubahan yang turut dicadangkan ialah membantu kelab EFL yang bermasalah bagi menghadapi pandemik coronavirus dengan menyalurkan dana 250 juta pound (RM1.34 billion).
Kelab-kelab Liga Perdana akan memberikan 25 peratus daripada pendapatan mereka kepada Liga Bola Sepak.
Langkah itu dikatakan dapat membantu ‘jurang pendapatan’ antara Liga Perdana dan Liga Bola Sepak.
Apa yang paling utama, kelab-kelab Liga Perdana akan menghadiahkan kepada FA sebanyak 100 juta pound (RM539 juta) bagi membolehkan badan induk itu terus bertahan dan tiket untuk peminat menyaksikan perlawanan di laman lawan dikurangkan kepada 20 pound (RM107).
Selain isu kewangan, antara cadangan baharu itu bakal menyaksikan Piala Liga dan Piala Perisai Komuniti dihapuskan.
Bagi saingan Liga Kejuaraan pula, slot automatik ke Liga Perdana masih dikekalkan dua pasukan teratas, dengan hanya dua kelab tercorot dalam kancah Liga Perdana bakal disingkirkan.
Pasukan yang berjaya menghuni tempat ketiga, keempat dan kelima dalam divisyen dua itu perlu beraksi dalam perlawanan play-off bersama-sama kelab Liga Perdana yang berada di kedudukan ke-16. – The Sun UK – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button