Sukan

Silat Dunia: Silat artistik sumbang tiga pingat emas

TUJUH pingat emas yang disasarkan oleh kontinjen silat negara semakin hampir walaupun silat artistik menyumbang tiga daripada lapan pingat yang dipertandingkan di peringkat akhir pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi.

Begitupun pesilat negara layak ke akhir dalam enam kategori namun hanya dapat meraih tiga emas dan tiga perak. Keseluruhannya kontinjen negara menyumbang tiga emas diikuti Indonesia (2), Singapura (2) dan Thailand (1).

Buruan empat lagi emas akan diketahui malam ini apabila 13 pesilat negara diketuai juara dunia tiga kali, Mohd. Al Jufferi Jamari (kelas F) bakal bertarung di separuh akhir hari ini bagi melayakkan diri ke peringkat akhir pada Ahad.

Selain Mohd. Al Jufferi turut layak ialah Mohd. Fauzi Khalid (kelas G), Mohamad Khairi Azhar (kelas B), Muhammad Robial Sobri (kelas I), Billage Anak Kanang (kelas Terbuka 2), Mohamad Firdaus Latib (kelas J), Aizad Akbar (kelas A) dan Muhammad Akma Danish Mohd Amirul (kelas U45).

Pesilat wanita yang turut layak ialah Siti Rahmah Mohamed Nasir (kelas F), Nor Farrah Mazlan (kelas A), Amanisaudah Yahaya (kelas H), Siti Shazwana Ajak (kelas D), Nur Syazerra Hidayah Idris (kelas B), Norsyakirah Muksin (kelas U45) dan Olivia Chong (kelas Terbuka 1).

Pingat emas pertama disumbang menerusi kategori Ganda Lelaki melalui penyandang acara itu pada Kejuaraan Dunia 2018 di Singapura, Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga menewaskan gandingan Almohaidid E. Abad dan Alfau Jan E. Abad dari Filipina.

Gandingan negara memperoleh 9.950 mata manakala pasangan adik-beradik dari Filipina pula mendapat 9.930 mata.

Sazzlan berkata, dia berpuashati menyumbang emas pertama negara serta berjaya mempertahankan gelaran yang disandang di Singapura.

“Kami memang menjangkakan untuk menang kerana kelebihan menggunakan parang dalam rutin terakhir selepas tangan kosong dan lawan kayu panjang.

“Kami mengambil risiko menggunakan parang kerana jika patah atau salah seorang daripada kami luka di jari serta berdarah wasit boleh membatalkan persembahan serta memberi kemenangan kepada pihak lawan,” ujar pemenang dua emas di Sukan Sea di Filina dan Hanoi, Vietnam dalam acara yang sama.

Selepas itu, trio negara Muhammad Syafiq Ibrahim, Nashrul Edam Mohd. Asri dan Luqman Laji menyumbang pingat kedua apabila menewaskan Anggi Faisal Mubarok, Asep Yuldan Sani dan Rano Slamet Nugraha dari Indonesia 9.965-9.950 mata dalam acara Regu Lelaki.

Sejurus selepas itu pingat emas ketiga negara menyusul menerusi Merrywati Manuil yang menewaskan Puspa Arumsari dari Indonesia 9.950-9.910 mata bagi acara Solo Creative Wanita.

Pingat perak pula disumbang Nur Syafiqah Hamzah bagi kategori Tunggal Wanita, Mohd. Shukrillah Badrilah dalam kategori Solo Creative Lelaki dan pesilat dari Ranau, Sabah, Lukman Laji menerusi kategori Tunggal Lelaki.

Majlis penyampaian pingat kepada pemenang telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. Hadir sama Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din. – SM

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button