Belang BertempatPolitik

Tulah `kereta terbang’ bawa penghujung karier politik Pak Wan

SETELAH kalah pemilihan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah 23 Februari lalu, malam tadi 22 Ogos, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof atau Pak Wan kecundang lagi.

Kali ini kekalahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu lebih perit. Tersadung untuk menempatkan diri dalam slot tiga kerusi Naib Presiden Bersatu.

Lebih mengecewakan Pak Wan yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, beliau kalah kepada timbalannya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Tempoh hari dalam perebutan bahagian Masjid Tanah, Pak Wan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah tewas kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kemasukan bekas Ketua Puteri UMNO itu ke dalam Bersatu dikatakan diusahakan oleh Pak Wan sendiri.

Hai! nasib-nasib. Apa yang dibuat oleh Pak Wan serba tak kena. Serba-serbi tak menjadi.

Ada yang membisikkan kepada Belang pagi ini bahawa puncanya adalah label “kereta terbang” yang kuat menjadi trademark negatif Pak Wan dalam fikiran rakyat Malaysia – sebagai punca karier politiknya terumbang-ambing.

Hanya kerana kekeliruan isu istilah, projek dron di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang diketuai Pak Wan semasa dalam kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan tempoh hari dikritik hebat oleh orang ramai, netizen dan pembangkang ketika itu BN dan Pas. Ia sehingga sering diuar-uarkan mereka sebagai `kereta terbang’.

Padahal, istilah sebenarnya adalah dron besar atau super drone (air mobility) yang boleh membawa penumpang.

“Kereta terbang” yang dikaitkan dengan MED di bawah Pak Wan ini turut menyebabkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad waktu itu tak senang duduk. Dr. Mahathir seolah-olah terpaksa pula memperbetulkan persepsi berhubung istilah projek dron besar berkenaan. Dan bukannya `kereta terbang’.

Dan Pak Wan dikatakan mempunyai peluang terbaik di peringkat awal lagi untuk memperbetulkan istilah `kereta terbang’ itu. Tetapi malang, disebabkan sudah terlepas cakap, beliau dikatakan `ego’ enggan melakukan pembetulan.

Akibatnya, Pak Wan ibarat `mendukung biawak hidup label kereta terbang’ berkenaan.

“Kereta terbang” menjadikan karier politik Pak Wan sudah sampai ke penghujung.

Satu-satunya cara untuk menyelamatkan karier politik Pak Wan adalah dengan menempatkan diri sebagai calon PRU-15 Bersatu.

Cuma, yakinkah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan keupayaan Pak Wan sebagai calon berwibawa – yang suatu ketika dikatakan Pak Wan juga `ada hati’ mahu mencabar kedudukan Muhyiddin dalam parti.

Dan, dengan kemasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta kemnya termasuk Zuraida Kamaruddin ke dalam Bersatu, sekal gus menjadikan survival dan masa depan Pak Wan dalam parti itu semakin suram.

(Visited 694 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button