Politik

24 tokoh perkukuh Muafakat Nasional

Muafakat Nasional (MN) akan terus diperkasa dengan penyertaan 24 tokoh terkemuka.

MN dalam kenyataan media memaklumkan nilai-nilai ditetapkan sebagai NGO akan diperkukuhkan.

 

KENYATAAN MEDIA NGO MUAFAKAT NASIONAL DIAKTIFKAN

1. Negara Malaysia telah dibina di atas landasan kukuh berteraskan penyatuan dan perpaduan pelbagai NGO, parti politik, komuniti dan rakyat berbilang kaum, agama, negeri serta wilayah.


2. Nilai-nilai cintakan keamanan, kedamaian, muhibbah dan perpaduan yang sejati adalah sesuatu yang perlu dipupuk dan disuburkan secara berterusan sehingga menjadi sesuatu yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

3. Penyatuan dan perpaduan masa kini menjadi semakin rapuh dan tidak ketentuan. Justeru dirasakan satu landasan bersifat bebas dan berwibawa perlu segera diwujudkan untuk meneruskan usaha memupuk nilai-nilai murni kearah perpaduan dan penyatuan yang sejati.

4. Bagi mencapai cita-cita tersebut, kami bersepakat untuk menggerakkan sebuah badan NGO, MUAFAKAT NASIONAL sebagai platform menggerakkan agenda perpaduan dan penyatuan serta memantapkan pembinaan negara dan bangsa.

5. Matlamat Muafakat Nasional adalah seperti yang termaktub dalam perlembagaannya yang telah secara rasmi didaftarkan serta diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 19 September 2019 dan nombor pendaftaran adalah PPM-009-10-19092019.

6. MN berpegang teguh kepada 5 matlamat yang telah digariskan seperti berikut:

• Menjunjung Dan Mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja- Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara

•Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara

• Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera

• Membentuk Kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara

• Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

7. Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa telah dipilih sebagai Presiden MN. MN akan terus kekal menjadi sebuah organisasi NGO yang akan memberi fokus terhadap penerapan nilai-nilai yang telah dinayatakan. Seramai 24 tokoh terkemuka yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, pengalaman serta kepakaran akan dilantik bagi memperkasakan lagi MN.

8. Inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh MN adalah dalam kerangka menerapkan nilainilai kesederhanaan şerta keterbukaan yang luas dan tinggi. Elemen nasionalisme yang tinggi berteraskan prinsip Rukun Negara diterapkan bagi setiap aktiviti yang bakal dianjurkan dengan berpandukan kepada 5 perkara yang telah ditetapkan di dalam matlamat MN.

9. Antara aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MN dalam masa terdekat adalah:

• Sesi Sidang Meja Bulat (Rountable Discussion) yang menghimpunkan tokohtokoh masyarakat dan pemimpin NGO yang terlibat dalam pelbagai bidang serta kepakaran yang akan diadakan dalam beberapa siri.

• Jelajah Muafakat Nasional : Seminar dan wacana tertutup di setiap negeri bagi membawa semangat muafakat dan mempromosikan keahlian MN peringkat negeri dan Kawasan.

• Konvensyen MN

10. Butiran lanjut berkenaan keahlian MN dan struktur organisasi akan diumumkan minggu hadapan.

TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA TPr ANNUAR HAJI MUSA PRESIDEN 8 DISEMBER 2022

(Visited 570 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button