Nasional

Kasut hitam: Hanya kajian pelaksanaan, bukan batal

HANYA kajian pelaksanaan pemakaian. Itu tegas Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung laporan media kononnya kementerian akan mengkaji membatalkan dasar pemakaian kasut hitam di sekolah.

Memetik laporan Malaysiakini, seorang jurucakap Kementerian Pendidikan berkata, kerajaan melaksanakan kajian pelaksanaan dan bukan mengkaji semula dasar itu.

“Bukan kajian semula, hanya tinjauan untuk melihat maklum balas sekolah dan murid sejak pemakaian kasut hitam dilaksanakan.

“Kementerian Pendidikan ingin mendapatkan dapatan data pelaksanaan pemakaian kasut hitam di peringkat sekolah. Pihak sekolah perlu mengisi kajian pelaksanaan ini sebelum atau pada 31 Januari 2020,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain aspek teknikal sekolah, tinjauan itu hanya mengemukakan tiga soalan, iaitu jumlah keseluruhan pelajar, jumlah pelajar yang memakai kasut hitam dan jumlah pelajar yang memakai kasut putih.

Pekeliling bertarikh 14 Januari 2020 (semalam) itu ditujukan kepada semua pengarah pendidikan Jabatan Pendidikan negeri, dan meminta sekolah mengisi tinjauan dan telah dikongsi di Facebook Friends of Maszlee Malik. Hantaran tersebut bagaimanapun telah dipadamkan.

Dalam satu pekeliling yang diedarkan semalam, Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Datuk Mohd. Jamil Mohamed berkata, kementerian berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan kajian tersebut berdasarkan dapatan yang diperolehi daripada pihak sekolah.

“Sehubungan dengan itu KPM memohon kerjasama pihak sekolah dalam membantu kajian ini dengan melengkapkan maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diekses secara dalam talian.

“Adalah dimaklumkan bahawa kajian ini perlu diselesaikan oleh pihak sekolah sebelum atau pada 22 Januari 2020,” kata Mohd. Jamil.

Dasar kasut hitam diperkenalkan oleh bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik pada 29 Julai 2018 sebaik sahaja dilantik ke jawatan tersebut.

Pada waktu itu, Maszlee berkata, murid sekolah rendah dan menengah akan memakai kasut hitam mulai 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

Katanya, langkah itu berupaya membantu menceriakan pelajar, terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.-SM

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button