Rencah Hidup

Makan setalam, jemaah bersalam sukar pastikan siapa penyebar COVID-19

SEKADAR renungan.

Para jemaah tidur dalam khemah-khemah yang sesak di luar masjid berkubah emas, bangun sebelum fajar menyinsing untuk duduk dalam barisan sejadah yang dibentangkan di dewan utama. Pada masa itu, koronavirus berjangkit tanpa disedari.

Perhimpunan orang Islam itu yang diadakan pada penghujung bulan lepas di sebuah kompleks masjid yang luas di Sri Petaling, Kuala Lumpur muncul sebagai sumber ratusan jangkitan koronavirus baru di serata Asia Tenggara.

Seorang rakyat Malaysia berusia 34 tahun yang menghadiri acara itu meninggal dunia semalam, kematian pertama yang dikaitkan dengan acara yang berlangsung 27 Feb – 1 Mac di kawasan masjid.

Ia dihadiri 16,000 orang termasuk 1,500 warga asing.

Menurut Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba, daripada 673 kes koronavirus yang disahkan di Malaysia, hampir dua per tiga (2/3) dikaitkan dengan pertemuan empat hari itu walaupun belum jelas, siapakah yang membawa virus itu ke sana.

Reuters menemubual enam orang peserta dan melihat gambar dan catatan di media sosial, keterangan menunjukkan beberapa cara wabak itu boleh tersebar.

Penganjurnya, Gerakan Dakwah Islam Jemaah Tabligh yang asal usulnya boleh dikesan di India sekurun lalu, sudah menggantung kegiatan dakwahnya tetapi tidak mengulas secara langsung tentang acara itu.

Kumpulan itu juga tidak respon kepada permintaan untuk komen lanjut.

Masjid di mana acara itu diadakan ditutup dan seorang tetamu berkata, dia salah seorang daripada puluhan ahli jemaah di situ bawah kuarantin. Panggilan ke masjid tidak terjawab.

“Saya sebenarnya amat terkejut ia diteruskan,” kata Surachet Wae-asae, seorang bekas wakil rakyat Thailand yang menghadiri acara itu tetapi selepas pulang didapati negatif jangkitan virus.

“Tetapi di Malaysia, Tuhan amat penting. Kepercayaan kuat.”

Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan enggan mengulas lanjut tentang acara itu.

Berpegang tangan, berkongsi talam

Perhimpunan yang sesak itu di mana tetamu terpaksa menaiki bas perantara untuk tidur di tempat-tempat lain, dihadiri warga puluhan negara termasuk Kanada, Nigeria, India dan Australia, menurut senarai hadirin yang dimuat naik di media sosial.

Juga terdapat warga China dan Korea Selatan, negara yang ada kadar jangkitan koronavirus yang tinggi.

Catatan media sosial memaparkan ratusan ahli jemaah bersolat dalam saf di masjid itu dan ada beberapa tetamu memuatnaik swafoto berkongsi makanan.

Belum jelas berapa ramai tetamu pemastautin di Malaysia tetapi kes-kes yang dikaitkan dengan perhimpunan itu muncul setiap hari di serata Asia Tenggara.

“Kami duduk rapat-rapat,” kata seorang lelaki Kemboja berusia 30 tahun yang menghadiri acara itu kepada Reuters di sebuah hospital di wilayah Battambang, Kemboja di mana dia dirawat selepas didapati positif koronavirus pada Isnin.

“Orang dari banyak negara berpegang tangan di majlis keagamaan itu. Apabila saya saya bertemu orang, saya pegang tangan, ia normal. Saya tak tahu saya berjangkit dari siapa,” katanya yang tidak mahu dinamakan kerana bimbang akan didiskriminasikan di masjidnya.

Tiada orang pimpinan acara itu bercakap tentang berpegang tangan, koronavirus atau peringatan kesihatan semasa acara itu tetapi kebanyakan tetamu membasuh tangan dengan kerap, kata dua orang tetamu. Membasuh tangan dan anggota tubuh yang lain sebahagian daripada ibadat orang Islam.

Seorang lagi peserta dari Kemboja berkata, tetamu daripada negara berbeza berkongsi talam di mana makanan disajikan.

Hanya separuh daripada peserta warga Malaysia yang menghadiri acara itu tampil untuk ujian, menimbulkan kebimbangan wabak dari masjid itu mungkin lebih luas.

Brunei mengesahkan 50 kes yang dikaitkan dengan perhimpunan di masjid itu daripada 56 kes. Singapura mengumumkan lima yang dikaitkan dengan acara itu, Kemboja 13 dan Thailand sekurang-kurangnya dua kes.

Vietnam, Filipina dan Indonesia yang hampir 700 warganya menghadiri acara itu sedang menyiasat.

Bahawa suatu acara ziarah keagamaan diteruskan, pada ketika epidemik sudah meragut 2,700 nyawa dan merebak dari Itali ke Iran, mengundang kritikan.

Bukan acara keagamaan itu sahaja yang menyebarkan virus pada skala yang besar. Ribuan kes di Korea Selatan dikaitkan dengan acara di Gereja Jesus Shincheonji di bandar Daegu.

Beberapa peserta mempertahankan acara di masjid Sri Petaling mengatakan, pada ketika itu situasi di Malaysia yang mengumumkan 25 kes yang diketahui setakat 28 Feb – tidak teruk.

“Kami ketika itu tak bimbang kerana situasi Covid-19 pada ketika itu nampak terkawal,” kata Khuzaifah Kamazlan, seorang guru agama berusia 34 tahun di Kuala Lumpur yang menghadiri acara itu dan didapati negatif koronavirus.

Khuzaifah berkata, beberapa ahli jemaah yang menghadiri acara itu enggan diuji bagi mengesan koronavirus, lebih suka bergantung pada Tuhan untuk melindungi mereka.

Karim, seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang menghadiri perhimpunan itu dan didapati positif koronavirus berkata, kerajaan patut membatalkan acara itu.

“Kami kecewa kami dipersalahkan sepenuhnya atas wabak ini. Pandangan itu tidak adil. Tiada larangan dikenakan ke atas perhimpunan itu,” katanya yang hanya mahu dinamakan sebagai Karim.

“Sekarang saya bimbang kerana saya positif. Tolong doakan saya.”

Lebih 182,000 orang di seluruh dunia dijangkiti koronavirus dan 7,165 meninggal dunia. – FMT

(Visited 484 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button