BanjirNasionalNegeri

Banjir: Perlis sedia 120 PPS

PERLIS telah bersiap sedia dengan 120 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri jika berlaku banjir disebabkan musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, daripada jumlah PPS itu, 102 adalah di sekolah.

Katanya, dijangkakan juga akan berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat ini.

Berikutan itu, katanya, penyelarasan akan dilakukan antara Jabatan Pendidikan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sekolah mana yang diperlukan sebagai tempat mengundi.

Katanya, jika ini berlaku maka pusat lain seperti balai raya yang berdekatan boleh digunakan sebagai perpindahan penduduk.


“Penyelarasan ini akan diperhalusi setelah mendapat maklumat dari SPR mengenai tarikh pelaksanaan PRU15 nanti,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran Negeri Perlis, petang semalam.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pengurusan bencana kali kedua ini bagi mempersiapkan jentera kerajaan negeri
menghadapi musim peralihan MTL di Perlis yang dijangka pada bulan ini sehingga November.

Mesyuarat ini melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), MetMalaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Hadir sama Pengarah APM Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud.

Hasnol Zam Zam berkata, sebagai langkah awal dari mengelak limpahan air jika berlaku hujan lebat, segala laluan air seperti longkang, parit, terusan sungai dibersihkan selain dilebarkan.

Katanya, kesannya itu sudah dapat dilihat apabila berlakunya kejadian hujan lebat sejak kebelakangan ini.

“Daripada 40 kawasan dikenalpasti sabagai “hotspot” banjir telah menurun kepada 20,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini yang berlaku adalah banjir kilat dan bukan lagi akibat peralihan MTL.

Katanya, penduduk di kawasan air pasang besar juga diingatkan berjaga-jaga kerana dijangka kali ini ia akan berlaku lebih tinggi.

Sehubungan itu, katanya semua penduduk di kawasan berisiko disaran mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya membawa bersama dokumen penting jika terpaksa dipindahkan ke PPS. – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button