PolitikPRK

Karpal, Kit Siang pun pernah kalah dan calon kitar semula


KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membalas serangan terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan menempelak pemimpin Pakatan Harapan seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga kategori calon kitar semula.

Menurut Ka Siong, oleh itu bukanlah satu masalah bagi Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng bertanding sebagai calon kitar semula apabila kalah pada pilihan raya lalu, setelah dua penggal dipilih sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Pemilihan Jeck Seng, katanya, membuktikan piagam Muafakat Nasional tidak sama sekali meminggirkan mana-mana kaum ataupun agama.

Jelas beliau, ini juga adalah konsep sebenar apa yang diperjuangkan oleh BN dan menunjukkan bahawa BN adalah bersifat inklusif.

“Terima kasih UMNO dan juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berbesar hati walaupun menerima banyak tekanan. Ini menunjukkan kesetiakawanan demi perjuangan bersama.

“Jika sebelum ini ramai yang mempunyai pandangan yang berlainan terhadap Muafakat Nasional namun ia dibuktikan oleh rakan kita UMNO bahawa BN bersifat inklusif.

“Ini yang penting dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk. Hakikatnya adalah betul majoritinya Melayu (di Tanjung Piai) maka MCA menghargai sikap UMNO,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Apa yang penting, ujar beliau, selepas ini adalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan apa juga konsep yang hendak ditonjolkan oleh BN, ia harus membuktikan BN sentiasa selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga mahu menunjukkan kesederhaan kita dalam masyakarat majmuk yang perlukan kepelbagaian. Bila Wee Jeck Seng dicalonkan ia menggambarkan apa juga persepsi salah dulu terhadap BN adalah tidak betul dan kita dapat membuktikan BN tidak meminggirkan mana-mana kaum.

“Inilah keisitimewaan yang ada dalam BN dan kita akan meneruskan semangat kebersamaan dan semangat yang diterap oleh BN ini akan diteruskan selamanya,” katanya.

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button