fbpx
Politik

Jangan buang masa layan pembangkang, buat pilihan raya awal – Tok Mat

LEBIH elok diadakan pilihan raya umum awal bagi mendapatkan kerajaan yang stabil daripada membuang masa melayan pembangkang di Parlimen, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, daripada mentadbir negara dalam keadaan yang tidak stabil dan majoriti kecil lebih segera adakan pilihan raya untuk dapatkan mandat yang selesa.

“Dalam keadaan sekarang, kerajaan kita bukan sahaja tak stabil tapi tidak mempunyai majoriti yang baik yang selesa.

“Apa sahaja yang kita nak buat akan mendapat tentangan yang hebat daripada pembangkang.

“Kita membuang masa banyak di Parlimen. Jadi saya yakin jika kita buat pilihanraya awal, pilihanraya umum dan dapat pula mandat yang selesa, maka kerajaan boleh menumpukan sepenuh masa mengurus negara,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan UMNO, Wanita dan Pemuda UMNO Cawangan Chengkau 2020 di Kampung Che Tambi di Rembaut


Pada masa sama beliau mengakui, rakyat kelihatan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tetapi katanya, keadaan itu boleh berubah jika mereka mula mempersoalkan hal keselamatan ekonomi dan ketidaktentuan masa depan mereka termasuk isu pekerjaan.

“Sentimen orang sekarang ini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya menyokong Tan Sri Muhyiddin, dia (sentimen) boleh bertukar.

“Lima, enam bulan awal ini keutamaan kepada keselamatan kesihatan, tetapi sekarang orang sudah mula bercakap mengenai isu keselamatan ekonomi.

“Bila tiada makanan di atas meja, tidak boleh bayar pinjaman bank, tidak boleh bayar pinjaman perumahan, tak boleh bayar pinjaman kereta, saya rasa sentimen akan menjadi sangat berubah,” katanya. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button